PIALA FUNIA FIFA 2026: Neymar beri bayangan bersara
Neymar memberi bayangan bahawa beliau mungkin sudah beraksi dalam perlawanan terakhirnya bersama Brazil selepas menjaringkan gol dalam perlawanan yang menyaksikan pasukannya kalah kepada Norway pada pusingan 16 terakhir Piala Dunia FIFA 2026 pada Ahad (5 Jul).
Penyerang Brazil, Neymar, beraksi pada 5 Julai 2026. (Gambar: IMAGN IMAGES melalui REUTERS/Caean Couto)
Penyerang itu menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan.
Namun, Brazil kalah 2-1 kepada lawannya, sekali gus menyebabkan juara lima kali itu tersingkir dan melanjutkan penantian pasukan tersebut untuk menjulang gelaran Piala Dunia FIFA buat kali keenam.
Bercakap secara ringkas selepas perlawanan kepada Bruno Formiga, iaitu seorang pengulas saluran Brazil, ge tv, Neymar memberi bayangan bahawa tempohnya aksinya bersama skuad Brazil telah berakhir.
"Saya sudah mencuba, saya sudah mencuba... Sekarang semuanya sudah berakhir! Saya bermula di sini, saya juga berakhir di sini," kata Neymar, merujuk kepada stadium di New Jersey, tempat beliau membuat penampilan sulungnya bersama Brazil dalam aksi persahabatan menentang Amerika Syarikat pada 2010.
Pemain berusia 34 tahun itu dilihat menangis selepas perlawanan tersebut.
Ia merupakan pencapaian terburuk Brazil di Piala Dunia FIFA sejak 1990.
Brazil kini berdepan penantian paling lama untuk kembali merangkul gelaran Piala Dunia FIFA sejak memenangi kejohanan itu buat kali pertama. Menjelang 2030, penantian mereka untuk menjulang semula trofi itu akan mencecah 28 tahun.
Sekiranya Neymar mengesahkan persaraannya di peringkat antarabangsa, beliau akan menamatkan kerjaya bersama Brazil dengan 80 gol dan 58 bantuan gol dalam 130 penampilan.
Neymar memenangi pelbagai kejuaraan di peringkat kelab, namun satu-satunya trofi utama yang dimenanginya bersama Brazil ialah Piala Konfederasi pada 2013.
Ikuti liputan penuh Piala Dunia FIFA 2026 termasuk keputusan, jadual perlawanan dan sedutan video dalam laman mikro khas kami.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.