Piala Dunia Hoki bakal kembali pada 2028
Sedang para peminat hoki bersiap sedia untuk menyaksikan pemain NHL kegemaran mereka mengambil bahagian dalam '4 Nations Face-Off', yang pertama sejak 2016, mereka disajikan dengan lebih banyak berita baik sebelum kejohanan tersebut bermula.

Pesuruhjaya NHL, Gary Bettman, mengalu-alukan kehadiran peminat di The Sphere pada 28 Jun 2024. (Gambar fail: Stephen R. Sylvanie-USA TODAY Sports/File Photo)
Piala Dunia Hoki akan kembali pada 2028, umum Pesuruhjaya NHL Gary Bettman di Bell Centre dalam sidang media bersama dengan pengarah eksekutif NHLPA, Marty Walsh.
"Kejohanan antarabangsa sangat penting kepada pemain kami - mewakili negara mereka menjadi darah daging mereka - dan peminat hoki pasti menyukainya," kata Encik Bettman kurang dua jam sebelum Kanada dan Sweden dijadual bertemu dalam perlawanan pembukaan kejohanan empat negara.
"Menyambung semula penyertaan dalam Sukan Olimpik pada musim depan dan menganjurkan Piala Dunia Hoki pada Februari 2028 akan memberi peluang yang lebih luas kepada lebih ramai pemain untuk mewakili lebih banyak negara dalam pertandingan seperti ini.
"Dengan kejohanan ini - dan Piala Dunia kembali ke pusingan biasa - NHL dan NHLPA mengambil langkah besar dalam komitmen bersama kami kepada hoki antarabangsa."
Anjuran bersama NHL dan NHLPA, Piala Dunia Hoki akan menampilkan pemain-pemain terbaik dunia yang akan bersaing dalam kejohanan antarabangsa. Ia akan menjadi edisi keempat kejohanan tersebut, yang sebelum ini diadakan pada 1996, 2004, dan 2016.
"Pemain tentu sekali mahu mewakili negara mereka di pentas hoki antarabangsa, dan kami sangat teruja untuk menganjurkan 4 Nations Face-Off dengan mengumumkan kembalinya Piala Dunia Hoki pada 2028 untuk mewujudkan kalendar antarabangsa yang padat," kata Encik Walsh. "Ia satu penghormatan terbesar bagi mana-mana pemain yang beraksi di pentas global apabila menyarung jersi hoki negara asal masing-masing.
"Peminat hoki di seluruh dunia akan disajikan dengan hoki yang luar biasa dengan pemain terbaik di dunia bersaing antara satu sama lain untuk mencapai kegemilangan hoki antarabangsa."
Piala Dunia akan diadakan dengan peraturan NHL, pengadil dan penjaga garisan NHL, dan gelanggang bersaiz NHL.
Proses pembidaan untuk bandar dan tempat tuan rumah dijangka bermula dalam masa beberapa bulan akan datang.
Para pemain NHL juga bersedia untuk kembali ke Sukan Olimpik Musim Sejuk Milano Cortina 2026 dan sekali lagi ke Pergunungan Alps Perancis pada 2030.
Pasukan Kanada mencatatakan prestasi yang hebat semasa Piala Dunia 2016 di Toronto, mengalahkan Pasukan Eropah dalam perlawanan akhir kejohanan tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.