Skip to main content

Sukan

PIALA DUNIA FIFA 2026: Yamal peluk Messi selepas perlawanan akhir Piala Dunia, akhiri detik penuh makna

Anggaran Waktu Membaca:
PIALA DUNIA FIFA 2026: Yamal peluk Messi selepas perlawanan akhir Piala Dunia, akhiri detik penuh makna

Pemain Sepanyol, Lamine Yamal (kiri), berpelukan dengan kapten Argentina, Lionel Messi, selepas tamat perlawanan akhir Piala Dunia 2026 di East Rutherford, New Jersey. (Gambar: REUTERS)

Diterbitkan : 20 Jul 2026 08:48AM Dikemas Kini : 20 Jul 2026 08:55AM
EAST RUTHERFORD: Di sebalik kegembiraan Sepanyol menjulang Piala Dunia FIFA 2026, satu detik penuh emosi mencuri perhatian sejurus wisel penamat dibunyikan.

Ketika pemain-pemain Sepanyol meraikan kemenangan 1-0 ke atas Argentina dalam masa tambahan, Lamine Yamal berjalan ke tengah padang untuk mendapatkan kapten Argentina, Lionel Messi.

Pemain berusia 19 tahun itu kemudian memeluk idolanya, yang baru sahaja menyaksikan impian Argentina mempertahankan kejuaraan dunia berakhir.

Pelukan ringkas antara kedua-dua pemain itu menjadi antara detik paling bermakna dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium New York New Jersey.

Hubungan antara Yamal dengan Messi mendapat perhatian ramai sejak sekeping gambar lama kembali tular tahun lalu.

Gambar itu menunjukkan Messi sedang mendukung dan memandikan Yamal ketika masih bayi dalam satu sesi fotografi amal anjuran Barcelona.

Pada ketika itu, Messi sedang mencipta nama sebagai antara pemain terbaik dunia, manakala Yamal hanyalah seorang bayi yang belum mengenali dunia bola sepak.
Related article image
Sekeping gambar lama yang menunjukkan Lionel Messi mendukung dan memandikan bayi Lamine Yamal semasa sesi fotografi amal Barcelona kembali menjadi perhatian selepas perlawanan akhir Piala Dunia 2026. (Gambar: Instagram)
Lebih sedekad kemudian, kedua-duanya bertemu sebagai lawan di pentas terbesar bola sepak dunia.

Messi mengetuai Argentina dalam usaha mempertahankan gelaran yang dimenangi pada 2022, manakala Yamal menjadi bintang generasi baharu Sepanyol yang memburu kejuaraan dunia kedua negara itu.

Sepanyol akhirnya muncul juara selepas Ferran Torres menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-106 untuk memastikan piala Piala Dunia kembali menjadi milik negara itu buat kali pertama sejak 2010.

Walaupun rakan sepasukannya sibuk meraikan kejayaan bersejarah itu, Yamal memilih untuk memberi penghormatan kepada pemain yang menjadi sumber inspirasinya sejak kecil.

Pelukan tersebut bukan sahaja melambangkan rasa hormat seorang pemain muda terhadap legenda bola sepak dunia, malah menjadi simbol pertemuan dua generasi dalam sukan itu.

Ikuti liputan penuh Piala Dunia FIFA 2026 termasuk keputusan, jadual perlawanan dan sedutan video dalam laman mikro khas kami.
Sumber : Agensi berita/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita