Skip to main content

Sukan

PIALA DUNIA FIFA 2026: Upacara perasmian diadakan secara berasingan di Mexico, Kanada dan Amerika

Anggaran Waktu Membaca:
PIALA DUNIA FIFA 2026: Upacara perasmian diadakan secara berasingan di Mexico, Kanada dan Amerika

Trofi Piala Dunia dipamerkan di Monterrey, Mexico pada 14 Mac 2026. (Gambar: REUTERS/Daniel Becerril)

Diterbitkan : 09 May 2026 10:31AM
ZURICH: FIFA mengumumkan pada Jumaat (8 Mei) bahawa ia akan mengadakan upacara perasmian berasingan sebelum perlawanan pertama di setiap tiga negara tuan rumah bagi Piala Dunia FIFA tahun ini, yang diadakan di Mexico, Kanada dan Amerika Syarikat.

Piala Dunia FIFA 2026, terbesar dalam sejarah, akan bermula pada 11 Jun di Mexico City, di mana kumpulan pop Mexico, yang juga pemenang Anugerah Grammy, Mana, akan membuat persembahan sebagai sebahagian daripada barisan artis yang turut merangkumi Alejandro Fernandez dan Belinda, menurut FIFA dalam catatannya di X.

Konsert di Mexico City akan menonjolkan budaya Mexico dan menampilkan persembahan artis Orang Asli serta elemen “folklorik moden”, kata FIFA.

Penyanyi Kanada Alanis Morissette, Michael Buble, Alessia Cara, William Prince serta DJ berpangkalan di Los Angeles, Sanjoy, yang juga warga Amerika berketurunan Bangladesh, akan membuat persembahan menjelang perlawanan pembukaan Kanada menentang Bosnia dan Herzegovina di peringkat kumpulan di Toronto pada 12 Jun.

FIFA menyatakan “reka bentuk semula Trofi Piala Dunia FIFA 2026 akan mencerminkan kerencaman dan masyarakat Kanada” semasa konsert tersebut.

Pada hari yang sama, penyanyi dan penulis lagu Amerika, Katy Perry, akan menjadi artis utama dalam upacara pembukaan sebelum perlawanan pasukan Amerika Syarikat menentang Paraguay di Los Angeles, di mana bintang rap Atlanta, Nayvadius Wilburn, yang lebih dikenali sebagai Future, juga akan membuat persembahan.

Barisan artis itu turut merangkumi Anitta, LISA, Rema dan Tyla.

Konsert di Amerika Syarikat itu direka sedemikian rupa bagi “menyampaikan persembahan yang bertenaga bagi mencerminkan skala, cita-cita dan pengaruh budaya kejohanan itu sendiri”, kata FIFA.

Piala Dunia FIFA tahun ini menandakan kali kedua kejohanan bola sepak global itu dianjurkan bersama oleh beberapa negara. Piala Dunia FIFA 2002 dianjurkan bersama oleh Korea Selatan dan Jepun, dengan Korea Selatan menjadi tuan rumah bagi upacara pembukaan.
Sumber : Reuters/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita