PIALA DUNIA FIFA 2026: Trump hubungi Infantino supaya semak keputusan kad merah Amerika
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menghubungi Presiden FIFA Gianni Infantino dan menyuruhnya supaya menyemak keputusan menggantung pemain penyerang Amerika Syarikat Folarin Balogun, yang dibatalkan oleh badan pentadbiran bola sepak itu pada Ahad (5 Jul), lapor New York Times.
Folarin Balogun (20) dari Amerika Syarikat mengasari Tarik Muharemovic (4) dari Bosnia, yang menyebabkan Balogun dilayangkan kad merah semasa perlawanan pusingan 32 pasukan terakhir Piala Dunia FIFA antara Amerika Syarikat dengan Bosnia di Santa Clara, California, berhampiran San Francisco, pada 1 Julai 2026. (Gambar: AP/Jeff Chiu)
- Donald Trump menghubungi Presiden FIFA Gianni Infantino untuk meminta semakan terhadap penggantungan Folarin Balogun selepas insiden kad merah dalam perlawanan menentang Bosnia.
- Balogun digantung secara automatik satu perlawanan mengikut peraturan FIFA, menyebabkan beliau tidak dapat bermain menentang Belgium.
- Pada Ahad, FIFA membuat keputusan luar biasa dengan menangguhkan penggantungan Balogun selama setahun, selepas campur tangan Trump.
- Trump berterima kasih kepada FIFA atas tindakan itu, manakala Persatuan bola sepak Belgium menyatakan rasa terkejut terhadap keputusan tersebut.
Balogun dilayangkan kad merah kerana dipercayai memijak pemain pertahanan Bosnia, Tarik Muharemovic dalam perlawanan pusingan 32 terakhir di mana Amerika menang 2-0 pada Rabu.
Di bawah peraturan FIFA, pelayangan kad merah secara automatik mengakibatkan penggantungan satu perlawanan yang tidak boleh dirayu oleh pasukan pemain berkenaan; ini bermakna Balogun tidak dapat beraksi dalam perlawanan pusingan 16 pasukan Amerika Syarikat menentang Belgium yang dijadualkan pada Isnin.
Namun Encik Trump menghubungi Encik Infantino pada Rabu bagi menyuruhnya supaya menyemak keputusan itu, lapor New York Times, sambil menukil tiga individu yang mengetahui tentang perkara itu.
Pada Ahad, FIFA melakukan keputusan luar biasa untuk menangguh penggantungan itu selama setahun.
Encik Trump mengucapkan terima kasih kepada badan pentadbiran itu melalui satu catatan di media sosial kerana "membetulkan satu ketidakadilan yang besar".
Persatuan bola sepak Belgium menyatakan pada Ahad bahawa ia "terkejut" oleh keputusan FIFA itu.
Ikuti liputan penuh Piala Dunia FIFA 2026 termasuk keputusan, jadual perlawanan dan sedutan video dalam laman mikro khas kami.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.