Skip to main content

Sukan

PIALA DUNIA FIFA 2026: Takdir bakal temukan semula Messi & Lamine Yamal selepas 19 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
 PIALA DUNIA FIFA 2026: Takdir bakal temukan semula Messi & Lamine Yamal selepas 19 tahun

Pemain Argentina, Lionel Messi (kiri). Pemain Sepanyol, Lamine Yamal (kanan). (Gambar: Shaun Botterill/Florencia Tan Jun/Getty Images/AFP)

Diterbitkan : 17 Jul 2026 09:48AM Dikemas Kini : 17 Jul 2026 09:51AM

NEW YORK: Pemain bola sepak terhebat sepanjang zaman dan pewaris takhtanya yang menjadi pemain handalan pasukan Barcelona bakal bersemuka buat kali pertama apabila Argentina menentang Sepanyol dalam aksi perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026 pada Isnin depan (20 Jul).

Dengan Lionel Messi kini berusia 39 tahun manakala Lamine Yamal baru mencecah usia 19 tahun, perlawanan yang mempertemukan kedua-dua mereka ini adalah bukti kegigihan luar biasa Messi yang mampu bertahan lama, serta bakat hebat Yamal yang begitu matang di padang bola meskipun masih seorang remaja. Apatah lagi, pertemuan ini berlaku dalam perlawanan paling berprestij di dunia.

Namun, ini bukanlah kali pertama mereka berdua bertemu.

Pertemuan pertama mereka sebenarnya berlaku pada tahun 2007, ketika Messi yang berusia 20 tahun baru sahaja menjadi pemain utama Barcelona, manakala Lamine Yamal pula baru berusia lima bulan, lapor BBC Sport.

Pertemuan tersebut telah dirakam dalam satu siri gambar oleh jurugambar Joan Monfort. Gambar-gambar itu tular semula dua tahun lalu apabila Lamine Yamal membantu Sepanyol memenangi Euro 2024, selepas bapanya memuat naik salah satu gambar tersebut di media sosial dengan kapsyen "Permulaan bagi dua legenda".

Dalam gambar tersebut, Messi kelihatan tersenyum sambil memangku dan memandikan seorang bayi lelaki kecil - yang tanpa disangka-sangka bakal mengikut jejak langkahnya dalam dunia bola sepak dengan begitu hampir sekali.

"Ia benar-benar satu keajaiban takdir," kata Monfort kepada BBC Sport.
"Ia satu kebetulan yang indah - apabila anda menemui sesuatu yang sangat istimewa, jauh lebih besar daripada apa yang pernah anda bayangkan. Jika babak ini ditulis dalam sebuah filem, orang pasti tidak akan percaya."

MESSI TIDAK TAHU CARA URUS BAYI

Sesi bergambar tersebut dijalankan di dalam bilik persalinan pasukan pelawat di Stadium Camp Nou milik Barcelona. Keluarga Lamine Yamal berada di sana selepas memenangi satu peraduan.

Ibu bapanya, Mounir Nasraoui yang berasal dari Maghribi dan ibunya Sheila Ebana dari Guinea Equatorial, bertemu selepas berhijrah ke Catalonia bersama keluarga masing-masing ketika masih kanak-kanak, lapor BBC Sport.

Lamine Yamal ialah anak sulung mereka. Sebaik sahaja beliau dilahirkan, ibu bapanya menyertai cabutan bertuah yang dianjurkan oleh akhbar Catalan, Sport, dengan kerjasama penaja jersi Barcelona ketika itu serta badan kebajikan kanak-kanak antarabangsa, UNICEF.

Sesiapa yang terpilih secara rambang akan mendapat peluang untuk bayi mereka bergambar secara profesional bersama pemain pasukan utama Barcelona. Lamine Yamal menjadi salah seorang pemenang, dan pada hari tersebut, mereka ditakdirkan berganding dengan Messi secara kebetulan.

"Saya langsung tidak tahu bayi dalam foto itu ialah Lamine sehinggalah salah seorang rakan menelefon saya pada tahun 2024 dan memberitahu bapa Lamine telah memuat naik gambar itu di Instagram," jelas Monfort.

"Messi seorang yang sangat pendiam dan pemalu. Dia masuk ke bilik persalinan dan tiba-tiba mengambil gambar dengan seorang bayi kecil - bukan kanak-kanak ya, tetapi bayi yang betul-betul kecil. Wajahnya terus berubah seperti orang yang langsung tiada idea apa yang perlu dibuat!

"Ia memang agak kekok untuk seorang anak muda seperti Messi ketika itu, tetapi Lamine ialah bayi yang sangat ceria dan suka tersenyum. Ibunya, Sheila banyak membantu kami. Dia seorang wanita muda dan mereka adalah keluarga yang sangat miskin, tetapi mereka sangat baik untuk bekerjasama. Messi sentiasa profesional dalam urusan sebegini dan dia dapat menyesuaikan diri dengan pantas."

'TIDAK MAMPU BALAS JASA IBU BAPA'

Sebelum menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-19, Messi telahpun menjaringkan 11 gol ketika itu serta memenangi satu kejuaraan La Liga dan satu trofi Liga Juara-Juara UEFA (UCL).

Manakala Lamine Yamal yang baru sahaja menyambut usia 19 tahun pada Isnin lalu, sudah pun menjaringkan 56 gol yang amat menakjubkan, memenangi kejuaraan La Liga sebanyak tiga kali, Copa del Rey sekali, serta menjulang trofi Euro 2024.

Sebenarnya, 'Yamal' bukanlah nama keluarga pemain itu, sebaliknya ia adalah nama kedua daripada dua nama pertamanya. Nama penuhnya ialah Lamine Yamal Nasraoui Ebana, dan beliau meletakkan kedua-dua nama pertamanya itu di belakang jersi Barcelona dan Sepanyol sebagai tanda penghormatan kepada dua individu yang pernah membantu keluarganya sewaktu beliau dilahirkan.

Media Sepanyol melaporkan secara meluas bahawa bapa Lamine Yamal pernah berjanji untuk menamakan anaknya bersempena nama dua rakan yang membantu mereka dari segi kewangan untuk menampung kehidupan mereka yang miskin.

Nama 'Lamine' ialah nama biasa bagi lelaki dalam Bahasa Arab yang bermaksud jujur atau amanah, manakala 'Yamal' pula adalah variasi bagi nama Jamal yang membawa maksud keanggunan atau keindahan.

Beliau membesar di Rocafonda, sebuah kawasan kejiranan kelas pekerja kolar biru di Mataro, kira-kira 32 kilometer ke utara Barcelona. Kawasan itu dibina pada tahun 1960-an untuk menempatkan golongan pendatang asing dari wilayah lain di Sepanyol. Apabila golongan ini mula berpindah ke kawasan yang lebih mewah, golongan pendatang dari luar negara pula tiba di situ pada tahun 1990-an.

Lamine Yamal sering meraikan jaringannya dengan membuat isyarat jari membentuk nombor 3-0-4, yang merujuk kepada poskod kawasan Rocafonda.

"Apa yang ibu dan bapa saya telah lakukan, saya sendiri tidak mampu melakukan perkara yang sama untuk sesiapa pun kecuali anak saya sendiri," kata Yamal kepada akhbar El Pais pada awal kejohanan.

"Jika anda tiada wang, sangat sukar untuk membantu anak anda bermain bola sepak. Namun ibu bapa saya berjaya merealisasikan semua itu. Ia adalah sesuatu yang tidak akan mampu saya membalas sampai bila-bila," katanya seperti dipetik BBC Sport.

HATI BERBELAH BAHAGI

Bagi Monfort yang merupakan anak jati Catalan dan penyokong tegar Barcelona, pertemuan kedua-dua pemain ini di atas padang adalah penutup yang paling sempurna bagi sebuah kisah yang bermula hampir dua dekad lalu.

"Saya rasa kita sedang melengkapkan kisah hidup mereka," tambah Monfort yang kini berusia 58 tahun. "Ia adalah satu pengakhiran yang gembira.

"Sebagai peminat Barcelona, saya rasa adalah sesuatu yang sempurna untuk Messi menamatkan kerjayanya dengan memenangi Piala Dunia FIFA buat kali kedua. Saya rasa dia sangat layak menerimanya.

"Bagi Lamine pula, dia masih mempunyai banyak masa pada masa hadapan untuk memenangi trofi seperti Piala Dunia FIFA. Namun, Sepanyol dan Lamine kini berada pada prestasi terbaik, dan jika dia memenanginya sekarang, ia akan menjadi lebih bernilai daripada gelaran-gelaran juara yang lain.

"Situasi ini sangat sukar untuk saya. Hati saya kini benar-benar berbelah bahagi."

Ikuti liputan penuh Piala Dunia FIFA 2026 termasuk keputusan, jadual perlawanan dan sedutan video dalam laman mikro khas kami.

Sumber : Agensi berita/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita