Skip to main content

Sukan

PIALA DUNIA FIFA 2026: Switzerland tundukkan Colombia 4-3 dalam penentuan penalti, mara ke suku akhir selepas 72 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
PIALA DUNIA FIFA 2026: Switzerland tundukkan Colombia 4-3 dalam penentuan penalti, mara ke suku akhir selepas 72 tahun

Ruben Vargas dari Switzerland menyempurnakan sepakan penalti melepasi penjaga gol Colombia, Camilo Vargas, untuk menghadiahkan kemenangan kepada pasukannya dalam penentuan sepakan penalti. (Gambar: Reuters/Albert Gea)

Diterbitkan : 08 Jul 2026 09:15AM
VANCOUVER: Switzerland menumpaskan Colombia 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan, sekali gus menempah pertemuan dengan juara bertahan Argentina pada peringkat suku akhir.

Kedua-dua pasukan saling mengimbangi permainan dalam aksi terakhir pusingan 16 pasukan terakhir, yang juga merupakan perlawanan terakhir Piala Dunia FIFA 2026 yang diadakan di luar Amerika Syarikat.

Kedua-dua pasukan gagal menyempurnakan satu sepakan penalti masing-masing sebelum penjaga gawang Switzerland, Gregor Kobel, menepis sepakan Cucho Hernandez dengan cemerlang, manakala Ruben Vargas menyempurnakan sepakan penalti kemenangan.

Colombia, yang sekali lagi mendapat sokongan padu beribu-ribu penyokong di Vancouver, hanya dibolosi sekali dalam empat perlawanan sebelum ini, manakala Switzerland turut mempamerkan benteng pertahanan yang sukar ditembusi.

Peluang terbaik pertama hadir pada minit ke-21 apabila Kobel melakukan aksi menyelamat dengan cemerlang untuk menepis rembatan Gustavo Puerta dari luar petak penalti.

Switzerland meningkatkan tekanan sejurus selepas rehat hidrasi pertama apabila Camilo Vargas menepis rembatan Fabian Rieder sebelum menafikan peluang Dan Ndoye.

Bagaimanapun, kedua-dua pasukan gagal memecahkan kebuntuan sehingga tamat separuh masa pertama.

Switzerland memulakan separuh masa kedua dengan lebih agresif, namun Colombia turut mencipta beberapa peluang, termasuk rembatan Luis Suarez yang tersasar.

Kedua-dua jurulatih membuat beberapa pertukaran pada separuh masa kedua, namun masih gagal menghasilkan peluang yang benar-benar berbahaya, sedang pemain sayap Colombia, Luis Diaz, berjaya dikekang.

Ndoye hampir menjaringkan gol pada masa kecederaan menerusi rembatan yang melintasi pintu gol, namun tiada rakan sepasukan berjaya menyambar bola itu dan perlawanan berakhir tanpa jaringan selepas 90 minit.

Perlawanan akhirnya menjadi lebih rancak pada babak pertama masa tambahan.

Pemain pertahanan Colombia, Jhon Lucumi, menanduk bola terkena palang hasil tendangan penjuru pada minit ke-99, sebelum Kobel sekali lagi bertindak cemerlang menepis rembatan kencang Jaminton Campaz ketika Colombia meningkatkan tekanan.

Di hujung padang yang lain, Camilo Vargas menepis percubaan pemain gantian Switzerland, Zeki Amdouni.

Campaz kemudian mensia-siakan peluang terbaik untuk menghadiahkan kemenangan kepada Colombia apabila gagal menyempurnakan peluang lima minit sebelum tamat masa tambahan.

Dengan kedudukan masih terikat, perlawanan ditentukan menerusi sepakan penalti.

Switzerland akan menentang Argentina di Kansas City pada Sabtu selepas pasukan Lionel Messi itu bangkit mengalahkan Mesir 3-2 dalam satu lagi aksi pusingan 16 pasukan terakhir di Atlanta.

Kali terakhir Switzerland mara ke suku akhir Piala Dunia FIFA adalah ketika menjadi tuan rumah kejohanan pada 1954.

Ikuti liputan penuh Piala Dunia FIFA 2026 termasuk keputusan, jadual perlawanan dan sedutan video dalam laman mikro khas kami.
Sumber : AFP/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita