Skip to main content

Sukan

PIALA DUNIA FIFA 2026: Switzerland jinakkan Algeria 2-0 untuk mara ke pusingan 16 terakhir

Penyerang Switzerland Breel Embolo menjaringkan gol pada peringkat awal perlawanan sebelum pemain sayap Dan Ndoye menambah jaringan untuk mengalahkan Algeria 2-0 pada Khamis (2 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
PIALA DUNIA FIFA 2026: Switzerland jinakkan Algeria 2-0 untuk mara ke pusingan 16 terakhir

Pemain Dan Ndoye menjaringkan gol kedua pasukannya pada 2 Julai 2026. (Gambar: REUTERS/Lee Smith)

Diterbitkan : 03 Jul 2026 02:52PM
  • Switzerland menewaskan Algeria 2-0 di Stadium BC Place, Vancouver pada perlawanan Piala Dunia FIFA 2026, Khamis lalu.
  • Gol dijaringkan oleh Breel Embolo dan Dan Ndoye hasil strategi serangan balas serta perubahan formasi yang diterapkan jurulatih Murat Yakin.
  • Algeria, di bawah bimbingan Vladimir Petkovic, gagal menembusi pertahanan Switzerland walaupun menguasai bola pada babak kedua.
  • Kemenangan ini membolehkan Switzerland mara ke pusingan 16 terakhir dan bakal bertemu Colombia atau Ghana minggu depan.
Dijana oleh AI
VANCOUVER: Penyerang Switzerland Breel Embolo menjaringkan gol pada peringkat awal perlawanan sebelum pemain sayap Dan Ndoye menambah jaringan untuk mengalahkan Algeria 2-0 pada Khamis (2 Jul). Keputusan tersebut membolehkan Switzerland mara ke pusingan 16 pasukan terakhir Piala Dunia FIFA 2026.

Switzerland akan bertemu Colombia atau Ghana di Vancouver pada minggu depan.

Para pemain pimpinan Murat Yakin mempamerkan corak permainan yang cukup berdisiplin dari segi taktikal dengan mengubah formasi permainan serta memerangkap Algeria sebelum menjaringkan dua gol menerusi serangan balas yang memastikan kemenangan mereka dalam perlawanan yang kurang rancak, tetapi sarat dengan pertembungan strategi.

Berdepan dengan jurulatih Algeria Vladimir Petkovic, yang pernah membimbing Switzerland dari 2014 hingga 2021, Yakin mengarahkan pasukannya untuk menyerap tekanan pada awal permainan sebelum melancarkan serangan balas, dan strategi itu ternyata membuahkan hasil.

Gol pembukaan Switzerland dihasilkan menerusi gerakan yang ringkas tetapi berkesan.

Switzerland merampas bola di kawasan sendiri sebelum pemain berusia 20 tahun, Johan Manzambi, berlari di bahagian kiri. Beliau kemudian mengumpan bola kepada Embolo yang menjaringkan gol dari jarak dekat pada minit ke-10.

Selepas mendahului perlawanan, Switzerland menukar formasi kepada lima pemain tengah untuk bertahan dan menutup ruang, selain memaksa Algeria untuk mencari jalan bagi menembusi benteng pertahanan mereka, namun para pemain Petkovic gagal melepasi benteng pertahanan lawan.

Peluang terbaik Algeria hadir pada masa kecederaan babak pertama apabila Ibrahim Maza melepaskan rembatan kencang yang tersasar dekat tiang gol. Ia merupakan antara percubaan yang berjaya dihasilkan Algeria sepanjang perlawanan tersebut.

Switzerland menggandakan kelebihan sejurus selepas babak kedua bermula menerusi serangan di sebelah kanan. Cubaan Rafik Belghali mengeluarkan bola gagal disempurnakan sebelum ia dirampas oleh Ndoye yang menembusi pertahanan penjaga gol Luca Zidane dengan mudah.

Kapten Algeria Riyad Mahrez berpeluang untuk merapatkan jurang tidak lama kemudian, namun rembatannya dari hadapan pintu gol terkena pemain pertahanan lawan, sekali gus merumuskan aksi hambar Algeria.

Dengan Granit Xhaka mengemudi benteng pertahanan Switzerland, pasukan itu kembali kepada corak permainan asal mereka dengan membiarkan Algeria menguasai bola sambil melancarkan serangan balas yang pantas. Namun, Algeria mengambil pendekatan yang terlalu berhati-hati kerana bimbang ditembusi sekali lagi.

Walaupun Stadium BC Place dibanjiri penyokong, 15 minit terakhir perlawanan berlangsung dalam suasana yang agak sepi. Sorakan hanya kedengaran apabila pemain gantian Switzerland, Fabian Rieder, gagal menyempurnakan peluang yang cantik selepas rembatannya tersasar sebelum Luca Zidane berjaya mengelakkan bahaya.

Namun kegagalan itu tidak menjejaskan keputusan, dengan Switzerland disahkan mara ke pusingan 16 pasukan terakhir yang akan berlangsung pada Selasa depan.

Ikuti liputan penuh Piala Dunia FIFA 2026 termasuk keputusan, jadual perlawanan dan sedutan video dalam laman mikro khas kami.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita