Skip to main content

Sukan

PIALA DUNIA FIFA 2026: Sweden tundukkan Tunisia 5-1

Sweden memulakan kempen Piala Dunia FIFA 2026 dengan mencatatkan kemenangan besar 5-1 ke atas Tunisia di Monterrey pada Ahad (14 Jun), dengan Yasin Ayari, Alexander Isak dan Viktor Gyokeres masing-masing mencipta nama sebagai penjaring gol dalam perlawanan tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
PIALA DUNIA FIFA 2026: Sweden tundukkan Tunisia 5-1

Pemain Sweden, Mattias Svanberg, meraikan gol keempat pasukannya bersama rakan sepasukan selepas semakan VAR. (Gambar: REUTERS/Henry Romero)

Diterbitkan : 15 Jun 2026 01:15PM Dikemas Kini : 15 Jun 2026 03:00PM
MONTERREY: Sweden memulakan kempen Piala Dunia FIFA 2026 dengan mencatatkan kemenangan besar 5-1 ke atas Tunisia di Monterrey pada Ahad (14 Jun), dengan Yasin Ayari, Alexander Isak dan Viktor Gyokeres masing-masing mencipta nama sebagai penjaring gol dalam perlawanan tersebut.

Sweden membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh apabila rembatan kaki kanan Ayari menerjah penjuru gawang lawan selepas penjaga gol Tunisia, Abdelmouhib Chamakh, terkeluar dari posisinya. Isak kemudian menggandakan kelebihan pasukannya pada minit ke-30 menerusi jaringan yang dilakukan dengan tenang dalam situasi satu lawan satu hasil hantaran Gyokeres.

Tunisia berjaya merapatkan jurang dua minit sebelum separuh masa pertama berakhir menerusi tandukan Omar Rekik, namun Gyokeres mengembalikan kelebihan dua gol Sweden pada minit ke-59 selepas bola di kaki pemain tengah Tunisia, Ellyes Skhiri, dirampas berhampiran petak penalti.

Mattias Svanberg menambah gol keempat enam minit sebelum perlawanan tamat, sebelum Ayari menjaringkan gol keduanya menerusi rembatan menarik pada masa kecederaan untuk melengkapkan kemenangan besar Sweden.

Sweden kini mendahului Kumpulan F dengan tiga mata, di hadapan Jepun dan Belanda yang seri 2-2 dalam satu lagi perlawanan sebelum itu.

Ikuti liputan penuh Piala Dunia FIFA 2026 termasuk keputusan, jadual perlawanan dan sedutan video dalam laman mikro khas kami.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita