Skip to main content

Sukan

PIALA DUNIA FIFA 2026: Sepanyol muncul juara selepas tumpaskan Argentina 1-0 dalam masa tambahan

Sepanyol menjuarai Piala Dunia buat kali kedua selepas menewaskan Argentina 1-0 menerusi masa tambahan dalam perlawanan akhir pada Ahad (19 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
PIALA DUNIA FIFA 2026: Sepanyol muncul juara selepas tumpaskan Argentina 1-0 dalam masa tambahan

Penyerang Sepanyol, Ferran Torres, meraikan gol kemenangan dalam masa tambahan sekali gus membolehkan pasukannya menjulang Piala Dunia 2026. (Gambar: REUTERS/Mike Segar)

Diterbitkan : 20 Jul 2026 06:49AM Dikemas Kini : 20 Jul 2026 07:45AM
EAST RUTHERFORD: Sepanyol menjuarai Piala Dunia FIFA buat kali kedua selepas mengalahkan Argentina 1-0 menerusi masa tambahan dalam perlawanan akhir pada Ahad (19 Jul).

Gol tunggal Ferran Torres pada minit ke-106 memastikan kemenangan Sepanyol sekali gus menghadiahkan negaranya gelaran dunia pertama sejak 2010.

Perlawanan berakhir tanpa jaringan selepas 90 minit, dengan kedua-dua pasukan gagal memecahkan benteng pertahanan masing-masing meskipun Sepanyol menguasai sebahagian besar permainan.

Argentina pula kehilangan seorang pemain apabila Enzo Fernandez dilayangkan kad merah pada minit ke-93, sekali gus mengubah rentak perlawanan yang memihak kepada Sepanyol.

Sepanyol menguasai penguasaan bola sepanjang perlawanan, namun beberapa percubaan mereka berjaya dipatahkan benteng pertahanan Argentina selain aksi cemerlang penjaga gol Emiliano Martinez.
Related article image
Pemain Argentina, Enzo Fernandez, dilayangkan kad merah pada awal masa tambahan dalam perlawanan akhir Piala Dunia menentang Sepanyol di East Rutherford, New Jersey, pada Ahad (19 Jul). (Gambar: AP/Frank Franklin II)
Related article image
Penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez, berjaya menepis tendangan percuma pemain Sepanyol, Lamine Yamal, dalam aksi final Piala Dunia 2026. (Gambar: Reuters/Kai Pfaffenbach)

Lamine Yamal mencipta peluang awal buat Sepanyol, manakala Mikel Oyarzabal kemudian melepaskan rembatan yang berjaya diselamatkan Martinez.

Pemain baharu Real Madrid, Marc Cucurella, hampir meletakkan Sepanyol di hadapan menjelang tamat separuh masa pertama, namun percubaannya sekadar melepasi pintu gol.

Pada penghujung masa sebenar, Yamal turut berpeluang mendapatkan kemenangan untuk Sepanyol menerusi tendangan percuma di luar kotak penalti, tetapi Martinez sekali lagi bertindak cemerlang.

Sepanyol menyangka mereka sudah membuka tirai jaringan dalam masa tambahan menerusi Nico Williams, namun gol itu dibatalkan selepas pengadil mengesan Mikel Merino melakukan kekasaran terhadap Nicolas Otamendi sebelum jaringan tersebut.

Kelebihan seorang pemain akhirnya dimanfaatkan Sepanyol apabila Torres menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-106 untuk menamatkan impian Argentina, yang memburu gelaran juara dunia keempat.

Kejayaan itu menyaksikan Sepanyol muncul juara dunia buat kali kedua dalam sejarah selepas kemenangan mereka pada edisi 2010.

Ikuti liputan penuh Piala Dunia FIFA 2026 termasuk keputusan, jadual perlawanan dan sedutan video dalam laman mikro khas kami.

Sumber : Agensi berita/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita