Skip to main content

Sukan

PIALA DUNIA FIFA 2026: Sepanyol mara ke suku akhir; impian Cristiano Ronaldo terkubur

Anggaran Waktu Membaca:
PIALA DUNIA FIFA 2026: Sepanyol mara ke suku akhir; impian Cristiano Ronaldo terkubur

Mikel Merino dari Sepanyol meraikan gol pertama bersama Fabian Ruiz dan Pedro Porro di Stadium Dallas, Arlington, Texas pada 6 Jul 2026. (Gambar: Reuters/Kai Pfaffenbach)

Diterbitkan : 07 Jul 2026 06:37AM Dikemas Kini : 07 Jul 2026 06:54AM
ARLINGTON: Sepanyol mara ke suku akhir Piala Dunia FIFA 2026 selepas menewaskan Portugal 1-0 hasil jaringan dramatik Mikel Merino pada masa kecederaan, sekali gus menyingkirkan juara Eropah itu daripada kejohanan tersebut.

Gol kemenangan Merino pada minit ke-91 bukan sahaja menghadiahkan kemenangan kepada La Roja, malah berkemungkinan menjadi penampilan terakhir legenda Portugal, Cristiano Ronaldo di pentas Piala Dunia FIFA.

Sepanyol kini menanti pemenang perlawanan antara Amerika Syarikat dan Belgium untuk menentukan lawan di peringkat suku akhir.

Pertembungan yang dinanti-nantikan antara Sepanyol dan Portugal bagaimanapun bermula dengan tempo berhati-hati apabila kedua-dua pasukan lebih banyak menguji kekuatan benteng pertahanan masing-masing berbanding cuba menghasilkan peluang berkualiti.

Sepanyol hampir membuka tirai jaringan pada babak pertama perlawanan menerusi Mikel Oyarzabal yang berdepan satu lawan satu dengan penjaga gol Portugal, namun percubaannya tersasar.

Portugal pula hampir mendahului permainan apabila rembatan Nuno Mendes yang terkena pemain lawan melantun deras ke palang gol selepas berjaya melepasi penjaga gol Sepanyol, Unai Simón.

Bintang muda Sepanyol, Lamine Yamal, turut beberapa kali mengancam kubu Portugal, namun gagal memecah kebuntuan sebelum tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, corak permainan tidak banyak berubah dengan Sepanyol lebih banyak menguasai permainan, namun kedua-dua pasukan terus buntu mencari jaringan.

Portugal hanya benar-benar menguji Simón pada minit ke-76 menerusi rembatan Bruno Fernandes yang sekadar melewati tiang gol.

Ketika perlawanan menghampiri penghujungnya, pengurus Portugal, Roberto Martínez, melakukan beberapa pertukaran bagi menyegarkan jentera pasukannya, namun terus mengekalkan Ronaldo di padang.

Sepanyol akhirnya memecahkan kebuntuan pada minit ke-91 apabila Rodri mengumpan bola kepada Ferran Torres sebelum pemain itu menghantar hantaran tepat kepada Merino yang tidak dikawal.

Merino dengan tenang menyempurnakan peluang tersebut untuk menewaskan Diogo Costa bagi menghadiahkan kemenangan berharga buat Sepanyol.

Portugal hampir mengheret perlawanan ke masa tambahan, namun tandukan Bernardo Silva pada saat-saat akhir sekadar melepasi palang gol.

Kekalahan itu menamatkan kempen Portugal pada Piala Dunia FIFA 2026 dan berkemungkinan menjadi penampilan terakhir Ronaldo di kejohanan berprestij itu.

Pemain berusia 41 tahun itu, yang membuat penampilan keenam di Piala Dunia FIFA 2026, dilihat tidak dapat menahan sebak apabila mengelilingi padang selepas wisel penamat sambil memberikan tepukan penghargaan kepada para penyokong Portugal.

Dengan edisi Piala Dunia FIFA berikutnya hanya akan berlangsung empat tahun lagi, peluang Ronaldo untuk kembali beraksi pada usia 45 tahun dilihat amat tipis, sekali gus menguatkan spekulasi bahawa tirai kariernya di pentas Piala Dunia FIFA mungkin telah pun dilabuhkan.

Ikuti liputan penuh Piala Dunia FIFA 2026 termasuk keputusan, jadual perlawanan dan sedutan video dalam laman mikro khas kami.
Sumber : AFP/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita