Skip to main content

Sukan

PIALA DUNIA FIFA 2026: Ronaldo belum buat keputusan bersara, akui penampilan terakhir Piala Dunia berakhir dengan kekecewaan

Cristiano Ronaldo mengesahkan perjalanan terakhirnya di pentas Piala Dunia sudah berakhir, namun enggan membuat keputusan tergesa-gesa mengenai masa depannya bersama skuad kebangsaan Portugal selepas pasukannya tersingkir di tangan Sepanyol.

Anggaran Waktu Membaca:
PIALA DUNIA FIFA 2026: Ronaldo belum buat keputusan bersara, akui penampilan terakhir Piala Dunia berakhir dengan kekecewaan

Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo. (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 07 Jul 2026 12:09PM Dikemas Kini : 07 Jul 2026 12:10PM

ARLINGTON: Cristiano Ronaldo mengesahkan perjalanan terakhirnya di pentas Piala Dunia sudah berakhir, namun enggan membuat keputusan tergesa-gesa mengenai masa depannya bersama skuad kebangsaan Portugal selepas pasukannya tersingkir di tangan Sepanyol.

Portugal tewas 0-1 kepada juara Eropah itu dalam aksi pusingan 16 pasukan terakhir Piala Dunia FIFA 2026 menerusi jaringan lewat pemain gantian, Mikel Merino, yang muncul sebagai wira Sepanyol menerusi gol kemenangannya pada minit pertama masa kecederaan.

Bercakap kepada para wartawan selepas perlawanan menentang Sepanyol, Ronaldo menyifatkan Sepanyol bernasib baik untuk meraih kemenangan dalam perlawanan yang menurutnya boleh memihak kepada mana-mana pasukan.

“Saya sedih meninggalkan Piala Dunia dengan cara seperti ini. Saya memberikan segala-galanya. Saya melakukan yang terbaik dan meninggalkan kejohanan ini dengan hati yang tenang.

“Ya, ini Piala Dunia terakhir saya, tetapi saya akan mengambil masa untuk berfikir bersama keluarga. Saya tidak akan membuat keputusan secara terburu-buru,” katanya.

Pemain berusia 41 tahun itu bagaimanapun tidak mengesahkan sama ada perlawanan menentang Sepanyol adalah penampilan terakhirnya bersama Portugal.

Menurutnya, beliau tidak mahu keputusan peribadinya mempengaruhi perjalanan pasukan negara dalam kejohanan tersebut.

Ikuti liputan penuh Piala Dunia FIFA 2026 termasuk keputusan, jadual perlawanan dan sedutan video dalam laman mikro khas kami.

“Saya tidak mahu membuat keputusan ketika emosi masih memuncak,” katanya.

Walaupun kempen Portugal berakhir lebih awal daripada yang dijangkakan, Ronaldo tetap berbangga dengan sumbangannya sepanjang lebih dua dekad menyarung jersi pasukan kebangsaan.

Kapten Portugal itu membantu negaranya merangkul gelaran juara Euro 2016 serta trofi Liga Negara-Negara UEFA pada 2019 dan 2025, menjadikannya era paling berjaya dalam sejarah bola sepak Portugal.

“Saya memenangi tiga kejuaraan bersama Portugal. Sebelum Cristiano Ronaldo, Portugal tidak pernah memenangi sebarang gelaran.

“Gelaran paling besar yang pernah dimenangi pasukan kebangsaan ialah Euro 2016 dan, sejujurnya, ia ibarat seperti memenangi Piala Dunia,” katanya.

Ronaldo turut melahirkan penghargaan kepada Roberto Martinez yang mengendalikan perlawanan terakhirnya sebagai ketua jurulatih Portugal selepas mengumumkan peletakan jawatannya menyusuli kekalahan tersebut.

“Saya suka bekerja dengannya. Beliau seorang jurulatih hebat dan insan yang luar biasa.

“Apa yang telah dilakukannya untuk Portugal wajar dihargai. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepadanya dan mendoakan yang terbaik buat beliau,” kata Ronaldo.

Mengulas tentang penyingkiran Portugal, penyerang Al-Nassr itu mengakui kekalahan dalam kejohanan besar memang sukar diterima, terutama ketika beliau merasakan pasukannya sedang berada pada prestasi terbaik.

“Sudah tentu menyedihkan apabila tersingkir daripada kejohanan besar. Ini adalah Piala Dunia.

“Pada pandangan saya, pasukan ini sedang berkembang dengan baik dan kami bermain dengan baik. Perlawanan itu boleh memihak kepada mana-mana pasukan, tetapi itulah bola sepak.

“Kami perlu bangkit semula dan meneruskan perjuangan. Memang mengecewakan apabila tersingkir dengan cara seperti ini, tetapi kami masih boleh berbangga dengan apa yang kami lakukan,” katanya lagi.

Kekalahan itu bukan sahaja menamatkan cabaran Portugal di Piala Dunia FIFA 2026, malah berpotensi menjadi penutup kepada karier antarabangsa Ronaldo yang dianggap antara pemain terhebat pernah mewarnai landskap bola sepak dunia.

Namun buat masa ini, masa depan legenda Portugal itu masih belum diputuskan.

Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita