Skip to main content

Sukan

PIALA DUNIA FIFA 2026: Roberto Martinez letak jawatan selepas Portugal tersingkir

Anggaran Waktu Membaca:
PIALA DUNIA FIFA 2026: Roberto Martinez letak jawatan selepas Portugal tersingkir

Jurulatih Portugal Roberto Martinez sebelum perlawanan antara Sepanyol dengan Portugal pada 6 Jul 2026. (Gambar: Imagn Images via Reuters)

Diterbitkan : 07 Jul 2026 09:55AM Dikemas Kini : 07 Jul 2026 09:56AM

ARLINGTON: Pengurus Portugal Roberto Martinez berkata beliau akan melepaskan jawatannya selepas Sepanyol mengalahkan Portugal 1-0 dalam perlawanan pusingan 16 pasukan terakhir Piala Dunia FIFA 2026 pada Isnin (6 Jul), sambil menyifatkan kekalahan itu sebagai penamat satu kitaran bagi pasukan tersebut.

Encik Martinez berkata kontraknya berakhir pada Isnin (6 Jul) dan kepimpinan bola sepak Portugal kini perlu memilih seorang pengurus baharu.

"Saya datang ke Portugal untuk memenangi Piala Dunia dan saya berpendapat bahawa tanpa memenanginya, tiada gunanya untuk saya teruskan," kata Encik Martinez dalam satu sidang media selepas perlawanan tersebut.

"Pihak lembaga dan presiden kini berpeluang memilih seorang pengurus baharu... kontrak saya berakhir hari ini. Tidak banyak lagi yang perlu saya katakan."

Encik Martinez berkata tiada keputusan muktamad dibuat sebelum perlawanan itu tetapi beliau mengesahkan bahawa kekalahan pasukannya di tangan Sepanyol adalah perlawanan terakhir beliau mengendalikan pasukan tersebut.

"Ya, ia adalah perlawanan terakhir saya bagi skuad negara ini," katanya. "Saya amat berbangga... saya berasa dialu-alukan sebagai seorang lagi rakyat Portugal, dengan cara yang sangat ramah dan mesra. Ia satu kebahagiaan, sumber kebanggaan dan satu tanggungjawab."

Penyingkiran Portugal daripada Piala Dunia FIFA 2026 juga dijangka akan menyaksikan Cristiano Ronaldo melabuhkan tirai kerjaya antarabangsanya.

Encik Martinez tidak mahu mengulas lanjut mengenai masa depan pemain berusia 41 tahun itu tetapi memberikan ucapan perpisahan penuh pujian kepada kapten pasukannya.

"Ucapan terima kasih, kerana beliau merupakan seorang kapten yang menjadi peran contoh," kata Encik Martinez. "Bukan sahaja dari segi jaringan gol – statistik sudah pun membuktikannya – malah dari segi bantuan jaringan juga."

"Ia adalah tentang komitmen hariannya, serta cara beliau menghayati dan menjiwai bola sepak. Beliau merupakan satu contoh teladan dan seseorang yang wajar kita raikan."

Encik Martinez berkata Portugal memberikan persaingan hebat kepada salah satu pasukan pilihan kejohanan, namun tewas akibat perbezaan yang sangat tipis.

"Kami mempamerkan keberanian di bahagian pertahanan, kami bermain secara agresif, dan kami bertahan dengan sangat baik," katanya.

"Namun, dalam pusingan 16 pasukan terakhir Piala Dunia, perincian kecil itulah yang menentukan segalanya.

"Sama ada bola yang terkena palang gol masuk ke dalam gawang atau tidak, ataupun peluang pada minit ke-90 hasil sepakan percuma pantas —perincian sebeginilah yang membawa perbezaan besar."

Ikuti liputan penuh Piala Dunia FIFA 2026 termasuk keputusan, jadual perlawanan dan sedutan video dalam laman mikro khas kami.

Sumber : Reuters/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita