Skip to main content

Sukan

PIALA DUNIA FIFA 2026: Ramos selamatkan Portugal daripada Croatia untuk mara ke pusingan 16 terakhir

Cristiano Ronaldo menjaringkan gol pertamanya di peringkat kalah mati Piala Dunia FIFA, manakala Goncalo Ramos pula menjaringkan gol kemenangan ketika masa kecederaan.
 

Anggaran Waktu Membaca:
PIALA DUNIA FIFA 2026: Ramos selamatkan Portugal daripada Croatia untuk mara ke pusingan 16 terakhir

Goncalo Ramos dari Portugal menjaringkan gol kedua pasukannya. (Gambar: REUTERS/Jeenah Moon)

Diterbitkan : 03 Jul 2026 10:35AM
  • Portugal menewaskan Croatia 2-1 di Stadium Toronto dalam perlawanan kalah mati Piala Dunia FIFA pada 2 Julai.
  • Cristiano Ronaldo menjaringkan gol pertamanya di peringkat kalah mati menerusi sepakan penalti, menjadi pemain tertua melakukannya dalam sejarah kejohanan.
  • Goncalo Ramos memastikan kemenangan Portugal dengan gol pada masa kecederaan, selepas Croatia menyangka mereka menyamakan kedudukan namun gol dibatalkan kerana ofsaid selepas semakan VAR.
  • Kemenangan ini membolehkan Portugal mara ke pusingan 16 terakhir untuk bertemu Sepanyol, manakala penyokong Croatia kecewa dengan keputusan pengadil.
Dijana oleh AI
TORONTO: Cristiano Ronaldo menjaringkan gol pertamanya di peringkat kalah mati Piala Dunia FIFA, manakala Goncalo Ramos pula menjaringkan gol kemenangan ketika masa kecederaan.

Portugal turut terselamat pada saat-saat akhir apabila gol penyamaan Croatia dibatalkan kerana ofsaid, sekali gus memberikannya kemenangan 2-1 pada Khamis (2 Jul) untuk mara ke pusingan 16 pasukan terakhir menentang Sepanyol.

Croatia menyangka mereka berjaya menyamakan kedudukan pada penghujung perlawanan, menyebabkan Ronaldo yang berada di bangku simpanan kelihatan kecewa.

Namun, jaringan pada saat-saat akhir itu dibatalkan kerana ofsaid menyusuli semakan Penolong Pengadil Video (VAR), mencetuskan kemarahan para penyokong Croatia yang membaling pelbagai objek ke padang dari bahagian selatan Stadium Toronto.

Ronaldo, 41 tahun, menjadi pemain tertua menjaringkan gol di peringkat kalah mati Piala Dunia FIFA apabila beliau menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-68 untuk menyamakan kedudukan dalam perlawanan sengit itu.

Pemain gantian Goncalo Ramos kemudian melompat dengan tinggi mengatasi benteng pertahanan Croatia untuk menanduk masuk gol kemenangan pada minit keempat masa kecederaan.

Gol Ronaldo merupakan jaringan pertama pemain itu dalam perlawanan kalah mati Piala Dunia FIFA.

Ronaldo dikeluarkan jurulatih Roberto Martinez pada minit ke-81.

Ivan Perisic meletakkan Croatia di hadapan pada minit ke-53 selepas menerima hantaran Josip Stanisic sebelum menyudahkannya dengan tenang ke penjuru gawang lawan dari jauh. Gol itu dijaringkan ketika perlawanan semakin rancak dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan.

Portugal menguasai sebahagian besar permainan pada separuh masa pertama, namun gagal memanfaatkan peluang yang dicipta dalam keadaan cuaca panas, meskipun tiupan angin dari Tasik Ontario melegakan sedikit para pemain.

Ronaldo, yang dicemuh penyokong Croatia setiap kali beliau menyentuh bola, gagal menyambar hantaran lintang awal Pedro Neto.

Beliau dan Bruno Fernandes kemudian turut gagal memanfaatkan satu lagi hantaran lintang daripada Joao Cancelo.

Croatia, naib juara Piala Dunia 2018 dan penyandang tempat ketiga pada edisi 2022, memulakan babak kedua dengan lebih agresif dan menekan Portugal.

Mateo Kovacic hampir membuka tirai jaringan apabila beliau berjaya melepasi benteng pertahanan Portugal selepas menyambar bola yang tercicir, namun percubaannya terkena bahagian tepi jaring.

Nikola Vlasic kemudian menyangka beliau menjaringkan gol kedua Croatia, namun jaringan itu dibatalkan kerana ofsaid.

Portugal segera melancarkan serangan balas dan Rafael Leao hampir-hampir menyamakan kedudukan menerusi rembatan jarak jauh yang terkena palang gol.

Ronaldo juga hampir-hampir menjaringkan gol apabila percubaan beliau melepasi penjaga gol Dominik Livakovic sebelum memasukkannya ke dalam gawang, namun percubaan itu turut dibatalkan kerana ofsaid.

Kapten Portugal itu akhirnya memperoleh detik yang dinanti-nantikan pada minit ke-68 apabila beliau menyempurnakan sepakan penalti yang disasarkan ke tengah pintu gol selepas Renato Veiga dijatuhkan Nikola Vlasic di dalam petak penalti.

Ikuti liputan penuh Piala Dunia FIFA 2026 termasuk keputusan, jadual perlawanan dan sedutan video dalam laman mikro khas kami.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita