Skip to main content

Sukan

PIALA DUNIA FIFA 2026: Penyokong dibenar bawa sebotol air belum dibuka masuk stadium

Anggaran Waktu Membaca:
PIALA DUNIA FIFA 2026: Penyokong dibenar bawa sebotol air belum dibuka masuk stadium

Stadium Gillette di Foxborough, Massachusetts, yang menjadi tuan rumah bagi lima perlawanan peringkat kumpulan, satu aksi pusingan 16 terakhir dan satu aksi suku akhir pada Piala Dunia FIFA 2026. (Gambar: AFP)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 06 Jun 2026 09:40AM
ZURICH: Para penyokong yang menghadiri perlawanan Piala Dunia FIFA 2026 di Amerika Syarikat dan Kanada dibenarkan membawa masuk satu botol air pakai buang yang belum dibuka ke dalam stadium, menurut FIFA pada Jumaat (5 Jun), beberapa hari selepas badan itu menyatakan bahawa botol guna semula akan dilarang atas sebab-sebab keselamatan.

Badan induk bola sepak dunia itu berkata para penyokong boleh membawa satu botol plastik lembut berkapasiti sehingga 20 auns (590 mililiter) ke dalam lokasi perlawanan, namun menegaskan bahawa botol keras dan botol guna semula tetap tidak dibenarkan.

Ketua Pegawai Operasi FIFA, Heimo Schirgi, berkata sekatan tersebut dibuat berdasarkan pertimbangan keselamatan, memandangkan botol merupakan antara barangan yang boleh mendatangkan risiko jika dibaling.

Penjelasan itu dibuat selepas FIFA mengemas kini Kod Tatalaku Stadium minggu ini dengan membatalkan panduan terdahulu yang membenarkan botol plastik lutsinar guna semula yang kosong dibawa masuk ke stadium.

Langkah itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penyokong mengenai keperluan kekal terhidrat sepanjang perlawanan, khususnya di lokasi yang dijangka mencatat suhu melebihi 25 darjah Celsius.

FIFA menyatakan bandar-bandar tuan rumah akan menyediakan pelbagai langkah bagi mengurangkan kesan cuaca panas di sekitar stadium, termasuk stesen air minuman, kawasan semburan kabus penyejuk serta khemah penyejukan.

Badan itu juga menegaskan bahawa harga air di dalam stadium akan kekal selaras dengan harga yang dikenakan semasa acara lain yang diadakan di lokasi yang sama.

Piala Dunia FIFA 2026 akan membuka tirainya pada Khamis (11 Jun) apabila Mexico menentang Afrika Selatan di Stadium Azteca.
Sumber : Reuters/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita