PIALA DUNIA FIFA 2026: Pemain wanita Afghanistan bakal kembali ke perlawanan antarabangsa rasmi selepas peraturan ditukar
Elaha Safdari dari pasukan Pelarian Wanita Afghanistan membuat penyelamatan semasa kem pemilihan di St. George's Park, Burton upon Trent, Britain - 26 Ogos 2025. (Gambar: REUTERS/John Sibley/Foto Fail)
Pasukan kebangsaan wanita Afghanistan tidak lagi bermain dalam perlawanan antarabangsa rasmi sejak sebelum Taliban mengambil alih kuasa pada tahun 2021. Pihak berkuasa Taliban mengenakan sekatan ketat terhadap wanita dan remaja perempuan, termasuk dalam bidang pendidikan, pekerjaan, dan sukan. Hal ini memaksa ramai atlet wanita melarikan diri ke luar negara atau berhenti bersukan sama sekali.
Perubahan peraturan itu adalah sebahagian daripada Strategi Tindakan FIFA untuk Bola Sepak Wanita Afghanistan yang diluluskan pada Mei tahun lalu. Ini menyusuli penubuhan Afghan Women United, iaitu sebuah pasukan tajaan FIFA yang memberi peluang kepada pemain wanita Afghanistan di luar negara untuk bertanding secara tersusun.
"Kami bangga dengan perjalanan bermakna yang dimulakan oleh Afghan Women United. Melalui usaha ini, kami mahu membantu mereka serta negara lain yang sukar mendaftarkan pasukan kebangsaan untuk terus maju ke tahap seterusnya, dengan kerjasama pihak berkaitan," kata Presiden FIFA, Gianni Infantino.
Fasa pemilihan bagi skuad Afghan Women United seterusnya sedang dijalankan, di mana FIFA menganjurkan kem pemilihan serantau di England dan Australia serta menyediakan pakej sokongan individu kepada hampir 90 pemain.
Afghan Women United dijangka akan beraksi dalam perlawanan seterusnya semasa tempoh antarabangsa wanita pada bulan Jun, dengan butiran mengenai lawan dan lokasi akan diumumkan kelak.
Pada tahun 2021, FIFA membantu memindahkan lebih 160 pemain, pegawai, dan pejuang hak asasi manusia yang berisiko yang mempunyai kaitan dengan sukan bola sepak dan bola keranjang di Afghanistan.
Penyokong bola sepak wanita sering mendesak FIFA supaya mengiktiraf dan menyokong pemain wanita Afghanistan yang berada di luar negara secara rasmi. Mereka menegaskan bahawa pemain-pemain itu tidak sepatutnya dinafikan kerjaya antarabangsa hanya disebabkan sekatan yang berlaku di dalam negara Afghanistan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.