PIALA DUNIA FIFA 2026: Pemain Iran diberi visa masuk Amerika
Replika trofi Piala Dunia yang dipamerkan di sebuah kedai di Tehran, Iran pada 23 April 2026. (Gambar: Majid Asgaripour/WANA melalui Reuters)
This audio is generated by an AI tool.
Duta Iran ke Mexico, Abolfazl Pasandideh, berkata pada lewat Khamis bahawa skuad Iran masih belum menerima visa Amerika Syarikat. Namun, seorang pegawai Rumah Putih mengesahkan visa itu sudah diluluskan semalam.
Jurucakap Persekutuan Bola Sepak Iran tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.
Amerika Syarikat bagaimanapun masih belum mengeluarkan visa kepada sebahagian anggota teknikal dan pentadbiran pasukan Iran, lapor agensi berita separa rasmi Fars pada Jumaat (5 Jun).
“Visa bagi beberapa anggota teknikal dan pengurusan pasukan kebangsaan masih belum dikeluarkan, dan Kedutaan Amerika Syarikat setakat ini enggan mengeluarkannya,” menurut laporan itu tanpa menamakan sumber.
Perang antara Iran dan Amerika Syarikat menjadikan Piala Dunia FIFA 2026, iaitu acara sukan terbesar dunia, sebagai medan persaingan geopolitik, dengan kedua-dua pihak dilihat menggunakan kejohanan itu untuk tujuan politik.
Ini merupakan Piala Dunia pertama sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 1930 yang menyaksikan negara tuan rumah menerima kehadiran sebuah negara yang sedang berperang dengannya.
Tehran berjaya merundingkan pemindahan lokasi kem latihan pasukan Iran pada saat akhir dari Arizona ke Tijuana, Mexico, menyusuli isu visa dan sentimen yang semakin kuat di Iran bahawa kehadiran pasukan itu di Amerika Syarikat perlu dikurangkan.
Pasukan Iran dijadual tiba di Tijuana awal Ahad (7 Jun).
Iran akan memulakan kempen Kumpulan G pada 15 Jun menentang New Zealand di Los Angeles. Pasukan itu juga akan berdepan Belgium di bandar yang sama sebelum menentang Mesir di Seattle.
Menurut Encik Pasandideh, Amerika Syarikat tidak pernah secara rasmi menyatakan bahawa ia tidak mahu pasukan Iran berada di wilayahnya.
Namun, Setiausaha Negara Amerika Syarikat Marco Rubio memberitahu penggubal undang-undang pada Selasa bahawa Washington tidak akan membenarkan Iran memasukkan individu yang mempunyai kaitan dengan Pasukan Pengawal Revolusi Islam (IRGC), cabang berpengaruh angkatan bersenjata Iran, dalam delegasi Piala Dunia mereka.
Presiden Persekutuan Bola Sepak Iran, Mehdi Taj, sebelum ini dinafikan kemasukan ke Amerika Syarikat untuk menghadiri majlis undian kejohanan di Washington pada Disember lalu. Beliau merupakan mantan komander IRGC.
Encik Pasandideh berkata tekad Iran untuk terus bertanding dalam Piala Dunia FIFA 2026 menunjukkan usaha negara itu untuk mencari huraian terhadap perang dengan Washington.
“Penyertaan Iran dalam Piala Dunia FIFA 2026 - walaupun di bumi yang dianggap sebagai musuhnya - menunjukkan bahawa Iran mahukan keamanan,” katanya melalui jurubahasa Bahasa Sepanyol di Kedutaan Iran di Mexico City.
Kemajuan rundingan damai antara Iran dan Amerika Syarikat masih perlahan, dengan kedua-dua pihak dilihat semakin hampir mencapai perjanjian sementara walaupun pada masa yang sama terus melancarkan serangan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.