Skip to main content

Sukan

PIALA DUNIA FIFA 2026: PBB beri amaran bahaya cuaca panas ekstrem

Anggaran Waktu Membaca:
PIALA DUNIA FIFA 2026: PBB beri amaran bahaya cuaca panas ekstrem

(Gambar: CNA)

Diterbitkan : 09 Jun 2026 12:32PM Dikemas Kini : 09 Jun 2026 12:56PM
MADRID: Sekretariat Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin (8 Jun) memberi amaran mengenai bahaya yang ditimbulkan cuaca panas ekstrem kepada pemain, petugas dan penyokong sempena pusingan akhir Piala Dunia FIFA 2026, lapor Xinhua.

Kejohanan itu akan berlangsung di Mexico, Amerika Syarikat dan Kanada dengan sebahagian perlawanan dijangka berlangsung pada suhu sekitar 30 darjah Celsius serta kelembapan tinggi, sekali gus menimbulkan cabaran kepada semua pihak terlibat.

Pada permulaan Mesyuarat Iklim Jun selama 10 hari di bandar Bonn, Jerman, Sekretariat Iklim PBB dalam satu kenyataan berkata: “Piala Dunia FIFA 2026, kejohanan terbesar dalam sejarah bola sepak, akan berlangsung ketika tahap cuaca panas ekstrem semakin meningkat, didorong perubahan iklim yang semakin buruk dan menjejaskan berbilion penduduk di seluruh dunia.”

“Cuaca panas ekstrem ini dijangka menjadi sebahagian daripada perjalanan kejohanan, di padang, di tempat duduk penonton, sekitar stadium dan di bandar raya tuan rumah,” menurut kenyataan itu.

Agensi itu turut memaklumkan bahawa satu daripada setiap empat perlawanan sepanjang kejohanan tersebut dijangka berlangsung dalam keadaan cuaca panas berbahaya, sambil menambah bahawa walaupun pemain berkemungkinan menerima rawatan perubatan segera, perkara itu mungkin tidak berlaku pada penyokong.

“Bahaya paling besar mungkin berlaku di luar stadium. Zon penyokong, barisan menunggu, laluan pengangkutan, tempat letak kereta dan sambutan luar boleh menyebabkan orang ramai terdedah kepada cuaca panas berbahaya selama berjam-jam,” menurut amaran agensi itu.

Amaran itu dibuat hanya beberapa hari selepas FIFA membatalkan keputusan yang melarang penyokong membawa botol air plastik kosong ke stadium untuk diisi semula di stesen penghidratan.
Sumber : Bernama/Agensi berita/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita