Skip to main content

Sukan

PIALA DUNIA FIFA 2026: Norway benam Iraq 4-1; Haaland ledak 2 gol

Anggaran Waktu Membaca:
PIALA DUNIA FIFA 2026: Norway benam Iraq 4-1; Haaland ledak 2 gol

Erling Haaland dari Norway meraikan gol pertama mereka dengan Alexander Sorloth dan David Moller Wolfe di Stadium Boston, Foxborough, Massachusetts, AS pada 16 Jun 2026. (Foto: Reuters/Paul Rutherford)

Diterbitkan : 17 Jun 2026 09:39AM

FOXBOROUGH, Massachusetts: Penyerang Norway, Erling Haaland, menjaringkan dua gol dalam penampilan sulungnya di Piala Dunia pada Selasa untuk membantu pasukannya mencatat kemenangan 4-1 ke atas Iraq dalam aksi pembukaan Kumpulan I, sekali gus menghantar isyarat awal bahawa mereka mampu menjadi pencabar dalam kejohanan itu.

Pemain berusia 25 tahun itu menjadi tumpuan sebelum perlawanan bermula dan beliau membuktikan reputasinya dengan aksi cemerlang pada penampilan pertama di pentas terbesar bola sepak dunia sedang Norway kembali ke Piala Dunia selepas 28 tahun.

Selepas permulaan yang berhati-hati, Haaland yang menjaringkan 16 gol dalam lapan perlawanan kelayakan - seganda lebih banyak berbanding mana-mana pemain lain di Eropah - membuka jaringan gol pada minit ke-29 apabila berjaya melepasi kawalan pemain lawan sebelum menyumbatkan gol daripada hantaran lintang rendah David Moller Wolfe.

“Untuk menang 4-1 adalah sesuatu yang sangat besar untuk kami semua. Rasanya hebat sekali dan saya bangga dengan pasukan ini.

“Inilah cabaran paling sukar yang boleh anda hadapi. Perlawanan seterusnya akan jauh lebih sukar daripada ini. Kami perlu bermain dengan lebih baik,” kata Haaland kepada wartawan.

Iraq berdepan tugas sukar apabila kembali ke Piala Dunia buat kali pertama dalam tempoh 40 tahun selepas meraih tempat terakhir ke kejohanan itu menerusi kemenangan 2-1 ke atas Bolivia dalam aksi 'playoff' antara benua pada Mac lalu.

Namun, Iraq hadir dengan pengalaman melalui 21 perlawanan kelayakan dan berjaya mengekalkan rentak pasukan itu apabila menyamakan kedudukan 10 minit kemudian.

Aymen Hussein, yang menjaringkan gol kemenangan ke atas Bolivia untuk membawa Iraq ke Piala Dunia, melonjak lebih tinggi daripada tiga pemain Norway dalam kotak penalti sebelum menanduk masuk hantaran Amir Al Ammari.

Kegembiraan Iraq bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Haaland mengambil kesempatan atas hantaran lemah ke belakang yang dilakukan ke arah penjaga gol Iraq, Jalal Hassan.

Penjaga gol itu teragak-agak, namun sepakannya terkena Haaland dan bola melantun daripada lutut penyerang itu sebelum masuk ke dalam gawang untuk gol ke-57 beliau dalam 51 penampilan antarabangsa.

Haaland hanya memerlukan 11 sentuhan bola pada separuh masa pertama untuk menjaringkan dua gol dan memberikan Norway kelebihan mendahului pada waktu rehat buat kali pertama dalam sejarah penyertaannya di Piala Dunia.

Iraq bagaimanapun enggan mengalah dan beberapa kali hampir menjaringkan gol pada masa kecederaan separuh masa pertama ketika kedua-dua pasukan mempamerkan aksi pembukaan yang menarik.

Tempo permainan menurun selepas rehat, namun Norway menambah jaringan pada minit ke-76 menerusi tandukan pemain gantian Leo Ostigard untuk menjamin kemenangan, sebelum Hussein yang berada di bawah tekanan menjaringkan gol sendiri pada masa kecederaan.

“Kami masih ada dua lagi perlawanan. Saya rasa pemain-pemain telah bermain dengan sangat baik pada separuh masa pertama, tetapi beberapa kesilapan benar-benar menghukum kami.

“Namun, ini satu detik yang hebat untuk Iraq dan begitu ramai penyokong yang hadir di sini. Ia malam yang sangat istimewa,” kata jurulatih Iraq, Graham Arnold.

Norway akan menentang Senegal dalam perlawanan seterusnya selepas Senegal tumpas 3-1 di tangan Perancis.

Iraq pula akan berdepan juara Piala Dunia 2018, Perancis, dalam aksi kedua peringkat kumpulan.

Ikuti liputan penuh Piala Dunia FIFA 2026 termasuk keputusan, jadual perlawanan dan sedutan video dalam laman mikro khas kami.

Sumber : Reuters/IM/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita