PIALA DUNIA FIFA 2026: Mexico City sasar cipta rekod baharu 'Mexican Wave' sempena ulang tahun ke-40
Orang ramai menyertai percubaan untuk mencipta rekod baharu bagi 'Mexico Wave' terbesar di Mexico City pada 6 June 2026. (Gambar: Reuters/Luis Cortes)
This audio is generated by an AI tool.
Acara tersebut diadakan sempena ulang tahun ke-40 kemunculan pertama 'gelombang Mexico' semasa Piala Dunia 1986 yang berlangsung di Mexico, walaupun asal usul sebenar gerakan itu masih diperdebatkan kerana penonton di Amerika Syarikat turut mendakwa pernah melakukannya lebih awal.
Mexico kini sedang bersiap sedia menjadi tuan rumah Piala Dunia buat kali ketiga, dengan kejohanan itu dijadual bermula pada 11 Jun.
Negara itu bakal menjadi yang pertama menjadi tuan rumah atau tuan rumah bersama Piala Dunia lelaki sebanyak tiga kali, selepas edisi 1970 dan 1986.
Pada pagi Sabtu (6 Jun), rakyat Mexico dan pelancong berbaris di Paseo de la Reforma, jalan utama yang merentasi nadi ibu negara itu.
Beratus-ratus peserta menyarung jersi berwarna hijau terang pasukan kebangsaan Mexico sambil mengibarkan bendera dan melaungkan 'Mexico, Mexico!' sebelum mengangkat tangan secara berurutan, menghasilkan gerakan gelombang yang bergerak merentasi lautan manusia tersebut.
Rekod Dunia Guinness kini mengiktiraf beberapa kategori rekod berkaitan gelombang Mexico.
Rekod peserta paling ramai melibatkan 157,574 orang di Amerika Syarikat pada Ogos 2008.
Rekod barisan gelombang manusia terpanjang pula melibatkan 8,453 peserta di Portugal pada 2007.
Sementara itu, rekod gelombang manusia paling lama berlangsung ialah selama 17 minit 14 saat yang dicatatkan di Jepun pada 2015.
Seorang jurucakap pemerintah Mexico City berkata objektif acara itu adalah untuk mencipta rekod dunia baharu bagi gelombang Mexico terbesar yang diadakan di luar stadium.
“Ia bukan soal memecahkan rekod, tetapi mencipta rekod baharu - ini sesuatu yang belum pernah dilakukan sebelum ini,” katanya.
“Itulah sebabnya Guinness membawa pulang semua bukti untuk menilai setiap aspek. Terdapat banyak perkara yang perlu mereka analisis.”
Teresa Lopez, yang datang khas untuk menyertai acara tersebut, berkata beliau hadir untuk membantu mencipta rekod baharu dan menyokong pasukan kebangsaan.
“Kami datang untuk menyertai gelombang manusia terbesar di dunia dan menyokong pasukan negara kami,” katanya.
“Kami rakyat Mexico dan kami sangat bangga dengan negara kami.”
Pelawat dari luar negara turut sama teruja dengan acara itu.
Pelancong Vivia Shivers, yang datang ke ibu negara Mexico menjelang kejohanan Piala Dunia FIFA 2026, berkata acara itu amat bermakna baginya.
“Ia berlangsung di lokasi yang istimewa, merupakan sumbangan kepada Piala Dunia, dan dapat mengambil bahagian dalam acara ini terasa sangat mengujakan,” katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.