Skip to main content

Sukan

PIALA DUNIA FIFA 2026: Mexico bakal hoskan pasukan Iran selepas ditolak Amerika

Presiden Mexico Claudia Sheinbaum pada Isnin (25 Mei) memaklumkan, pemerintahnya bersetuju untuk membenarkan pasukan bola sepak Iran menetap di Mexico sepanjang tempoh kejohanan Piala Dunia FIFA 2026, sambil menambah bahawa Amerika Syarikat enggan menjadi tuan rumah kepada skuad itu.

Anggaran Waktu Membaca:
PIALA DUNIA FIFA 2026: Mexico bakal hoskan pasukan Iran selepas ditolak Amerika

Penyertaan Iran dalam Piala Dunia FIFA 2026 menjadi tanda tanya sejak Amerika dan Israel melancarkan serangan ke atas negara itu pada 28 Februari 2026. (Gambar: REUTERS/Carlos BarrĂ­a)

MEXICO CITY: Presiden Mexico Claudia Sheinbaum pada Isnin (25 Mei) memaklumkan, pemerintahnya bersetuju untuk membenarkan pasukan bola sepak Iran menetap di Mexico sepanjang tempoh kejohanan Piala Dunia FIFA 2026, sambil menambah bahawa Amerika Syarikat enggan menjadi tuan rumah kepada skuad itu.

Cik Sheinbaum berkata, badan induk bola sepak dunia, FIFA telah menghubungi pemerintahnya selepas Amerika Syarikat enggan membenarkan skuad Iran menetap di negara itu sepanjang tempoh kejohanan, walaupun Iran dijadualkan beraksi dalam kesemua tiga perlawanan peringkat kumpulan di sana.

"Kami tidak mempunyai alasan untuk menolak kemungkinan mereka menetap di Mexico," kata Cik Sheinbaum semasa sidang media harian beliau.

Rumah Putih dan Jabatan Negara Amerika Syarikat tidak memberikan maklum balas segera ketika diminta mengulas perkara tersebut.

Ketua Persekutuan Bola Sepak Iran, Mehdi Taj pada Khamis berkata, pangkalan pasukan itu akan dipindahkan dari Arizona ke bandar sempadan Mexico, Tijuana sepanjang kejohanan berlangsung.

Encik Taj menambah, langkah itu akan membantu mengelakkan komplikasi berkaitan visa dan skuad berkenaan akan dapat melakukan perjalanan langsung ke Mexico menaiki pesawat Iran Air.

Penyertaan pasukan Iran dalam kejohanan yang berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai itu menjadi tanda tanya sejak Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada akhir Februari lalu.

Iran dijadualkan beraksi dalam dua perlawanan pertama Kumpulan G di Los Angeles menentang New Zealand pada 15 Jun dan Belgium pada 21 Jun, sebelum berdepan Mesir di Seattle pada 26 Jun.
Sumber : Reuters/Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita