PIALA DUNIA FIFA 2026: Mediacorp umum jadual siaran percuma bagi 28 perlawanan
Mediacorp pada Rabu (3 Jun) mengumumkan jadual bagi 28 perlawanan siaran langsung percuma Kejohanan Piala Dunia FIFA 2026, termasuk pertemuan juara bertahan Argentina dengan Algeria di peringkat kumpulan serta aksi England menentang Ghana.
Lionel Messi dari Argentina menjulang trofi Piala Dunia FIFA pada 18 Disember 2022 selepas pasukannya mengalahkan Perancis dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2022 di Stadium Lusail, Qatar. (Gambar fail: AP/Martin Meissner)
Peminat bola sepak boleh menyaksikan beberapa perlawanan utama tersebut secara langsung menerusi Channel 5 dan mewatch, platform penstriman digital Mediacorp.
Sebanyak 23 perlawanan peringkat kumpulan yang disiarkan secara percuma akan turut menampilkan perlawanan antara Sepanyol dengan Arab Saudi, Perancis dengan Iraq, Brazil dengan Haiti, Panama dengan Croatia serta Korea Selatan dengan Republik Czech.
Perlawanan pembukaan pada 12 Jun (pukul 3.00 pagi waktu Singapura) antara Mexico dengan Afrika Selatan, selain kedua-dua perlawanan separuh akhir, penentuan tempat ketiga dan perlawanan akhir pada 20 Julai (pukul 3.00 pagi waktu Singapura) turut termasuk dalam senarai siaran percuma.
Selain perlawanan, para peminat juga boleh menonton sorotan pilihan di mewatch serta platform digital Mediacorp Sports di YouTube, TikTok dan platform lain.
“Bersama-sama, tawaran ini mencerminkan komitmen Mediacorp untuk menjadikan detik-detik sukan utama lebih mudah diakses, selain menyatukan penonton menerusi pengalaman nasional yang dikongsi bersama,” menurut rangkaian media nasional itu.
Mediacorp sebelum ini mengumumkan harga langganan standard sebanyak S$118 untuk menyaksikan kesemua 104 perlawanan. Harga promosi awal yang berakhir pada 30 April ialah S$98.
Kedua-dua kadar tersebut kekal tidak berubah berbanding kejohanan pada 2022.
Langganan juga boleh didapatkan menerusi rakan pengedaran Mediacorp, Singtel dan StarHub.
Pada 5 Februari, Mediacorp mengumumkan bahawa ia sudah memperoleh hak eksklusif untuk menyiarkan kejohanan tersebut.
Selain kejohanan tahun ini, Mediacorp juga akan menyiarkan kesemua 64 perlawanan dan upacara rasmi Piala Dunia Wanita FIFA 2027, serta pelbagai acara FIFA lain yang berlangsung antara 2026 dengan 2028, termasuk Piala Dunia Bawah 17 Tahun FIFA, Piala Dunia Bawah 20 Tahun FIFA, Piala Dunia Wanita Bawah 17 Tahun FIFA dan Piala Dunia Wanita Bawah 20 Tahun FIFA.
Ketua Pegawai Pelanggan Mediacorp, Angeline Poh, berkata: “Tidak banyak acara yang mampu mencetuskan keterujaan dunia seperti Piala Dunia FIFA.
“Dengan menambah jumlah siaran percuma daripada sembilan perlawanan pada 2022 kepada 28 perlawanan tahun ini, kami berharap lebih ramai peminat di Singapura dapat menikmati detik-detik yang akan menjadi perbualan ramai, daripada perlawanan pembukaan hingga perlawanan akhir.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.