Skip to main content

Sukan

PIALA DUNIA FIFA 2026: Maghribi enggan leka, mahu terus buru gelaran juara

Maghribi tidak akan leka dengan pujian terhadap pencapaian mereka di Piala Dunia FIFA 2026 menjelang pertemuan suku akhir menentang Perancis, dengan penilaian terhadap prestasi pasukan hanya akan dibuat selepas kejohanan berakhir, kata jurulatih Mohamed Ouahbi pada Rabu (8 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
PIALA DUNIA FIFA 2026: Maghribi enggan leka, mahu terus buru gelaran juara

Jurulatih Maghribi, Mohamed Ouahbi, semasa sesi latihan. (Gambar: IMAGN IMAGES menerusi REUTERS/David Butler II)

Diterbitkan : 09 Jul 2026 02:30PM
FOXBOROUGH: Maghribi tidak akan leka dengan pujian terhadap pencapaian mereka di Piala Dunia FIFA 2026 menjelang pertemuan suku akhir menentang Perancis, dengan penilaian terhadap prestasi pasukan hanya akan dibuat selepas kejohanan berakhir, kata jurulatih Mohamed Ouahbi pada Rabu (8 Jul).

Perlawanan pada Khamis itu merupakan ulangan kepada peringkat separuh akhir Piala Dunia FIFA 2022, apabila Perancis menghentikan perjalanan bersejarah Maghribi di Qatar.

Namun kali ini, wakil Afrika Utara itu merupakan sebuah pasukan yang penuh dengan keyakinan dalam memburu gelaran juara Piala Dunia FIFA.

“Kami akan membuat penilaian selepas kejohanan berakhir,” kata Ouahbi dalam sidang media.

“Saya tidak akan berkata apa-apa sekarang kerana kami masih mampu melangkah lebih jauh. Kami tidak akan mendengarkan mereka yang berkata, 'apa yang kamu lakukan setakat ini sudah cukup hebat'.

“Perancis adalah pasukan pilihan, tetapi kami akan melakukan segala yang kami mampu untuk menang esok dan mara ke peringkat separuh akhir,” kata Ouahbi.

“Saya tidak suka tanggapan bahawa kami sudah berjaya sampai ke tahap ini dan selebihnya hanyalah bonus. Tidak, bonus sebenar ialah menjuarai Piala Dunia FIFA. Itulah pegangan kami sehingga berjaya melangkah sejauh ini, dan kami mahu pergi lebih jauh lagi.”

Perancis, juara dunia 2018 dan naib juara pada 2022, mara ke peringkat suku akhir selepas mengalahkan Paraguay 1-0 dalam perlawanan pusingan 16 terbaik menerusi sepakan penalti Kylian Mbappe.

Kapten Perancis itu sudah menjaringkan tujuh gol dalam kejohanan ini, jumlah kedua terbanyak selepas kapten Argentina, Lionel Messi, yang mengumpul lapan gol.

Mbappe, Ousmane Dembele, Michael Olise dan Bradley Barcola membentuk antara barisan serangan paling berbahaya yang pernah disaksikan di Piala Dunia FIFA.

Maghribi pula mara dengan bergaya dari peringkat kumpulan sebelum menyingkirkan Belanda dan tuan rumah bersama, Kanada, sekali gus mengukuhkan status mereka sebagai pencabar bagi gelaran juara.

“Pasukan Maghribi terus berkembang, begitu juga dengan Perancis. Yang penting ialah untuk bermain tanpa sebarang penyesalan. Masih ada perkara yang perlu kami perbaiki esok. Kami perlu bermain pada tahap 2,000 peratus dan tidak berasa puas dengan apa yang telah kami capai setakat ini," kata Ouahbi.

Ikuti liputan penuh Piala Dunia FIFA 2026 termasuk keputusan, jadual perlawanan dan sedutan video dalam laman mikro khas kami.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita