Skip to main content

Sukan

PIALA DUNIA FIFA 2026: Madonna, Shakira dan BTS bakal gegarkan persembahan separuh masa perlawanan akhir

Bintang popular global Madonna dan Shakira serta kumpulan lelaki popular Korea Selatan BTS akan menjadi artis utama bagi persembahan separuh masa pertama dalam sejarah pusingan akhir Piala Dunia FIFA, lapor PA Media/dpa.
 

Anggaran Waktu Membaca:
PIALA DUNIA FIFA 2026: Madonna, Shakira dan BTS bakal gegarkan persembahan separuh masa perlawanan akhir

Madonna merupakan antara barisan artis yang akan menggegarkan konsert separuh masa pusingan akhir Piala Dunia FIFA 2026. (Gambar: REUTERS/Pilar Olivares)

Diterbitkan : 14 May 2026 10:15PM Dikemas Kini : 14 May 2026 10:23PM
LONDON: Bintang popular global Madonna dan Shakira serta kumpulan lelaki popular Korea Selatan BTS akan menjadi artis utama bagi persembahan separuh masa pertama dalam sejarah pusingan akhir Piala Dunia FIFA, lapor PA Media/dpa.

Vokalis Coldplay Chris Martin, yang mendedahkan barisan artis itu menerusi video media sosial yang menampilkan watak-watak daripada ā€œSesame Street dan The Muppetsā€, bertindak sebagai kurator persembahan bersejarah itu.

Perlawanan akhir Piala Dunia FIFA dijadual berlangsung pada Ahad, 19 Julai, di Stadium MetLife di New Jersey.

Presiden FIFA Gianni Infantino, yang turut berkongsi butiran acara itu menerusi satu catatan di Instagram, mengumumkan rancangan bagi persembahan tersebut pada Mac tahun lalu.

Persembahan itu berkemungkinan menyebabkan tempoh rehat separuh masa pusingan akhir berlangsung lebih lama daripada kebiasaan iaitu selama 15 minit.

Persembahan tersebut akan diadakan untuk menyokong Dana Pendidikan Warga Global FIFA, satu inisiatif yang menyasarkan kutipan US$100 juta (S$127.27 juta) untuk memperluas akses kepada pendidikan dan bola sepak bagi kanak-kanak di seluruh dunia.

Persembahan hiburan separuh masa menjadi elemen utama acara sukan di Amerika Syarikat, khususnya semasa Kejohanan Super Bowl.

Madonna pernah menjadi artis utama persembahan separuh masa Super Bowl pada 2012, manakala Shakira berkongsi pentas bersama Jennifer Lopez pada 2020.

Pada musim panas lalu, FIFA turut menganjurkan persembahan separuh masa di Stadium MetLife semasa pusingan akhir Piala Dunia Kelab FIFA, apabila Chelsea F.C. menundukkan Paris Saint-Germain F.C. 3-0.

Piala Dunia FIFA terbesar yang menampilkan 48 pasukan itu akan bermula pada 11 Jun dan dianjurkan di seluruh Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita