Skip to main content

Sukan

PIALA DUNIA FIFA 2026: Ketua jurulatih bola sepak Itali letak jawatan lepas pasukan gagal layak

Anggaran Waktu Membaca:
PIALA DUNIA FIFA 2026: Ketua jurulatih bola sepak Itali letak jawatan lepas pasukan gagal layak

Rino Gattuso melepaskan jawatannya sebagai ketua jurulatih Itali atas persetujuan bersama. (Gambar: AP)

Diterbitkan : 04 Apr 2026 06:19PM Dikemas Kini : 28 Apr 2026 11:35PM
  • Rino Gattuso melepaskan jawatan sebagai ketua jurulatih Itali selepas gagal membawa pasukan ke Piala Dunia FIFA 2026, dengan keputusan dibuat secara persetujuan bersama pada 3 April.
  • Kekalahan Itali kepada Bosnia dalam final play-off pada 31 Mac menjadi punca utama peletakan jawatan Gattuso.
  • Gattuso mengucapkan terima kasih kepada Presiden FIGC Gabriele Gravina, ketua delegasi Gianluigi Buffon dan semua kakitangan atas sokongan mereka.
  • Antonio Conte, Massimiliano Allegri, Roberto Mancini dan Filippi Inzaghi dilaporkan antara calon utama untuk menggantikan Gattuso sebagai ketua jurulatih Itali.
Dijana oleh AI

ROMA: Rino Gattuso melepaskan jawatannya sebagai ketua jurulatih Itali atas persetujuan bersama pada Jumaat (3 Apr) selepas juara dunia empat kali itu gagal melayakkan diri ke Piala Dunia FIFA 2026 buat kali ketiga berturut-turut susulan kekalahan penentuan penalti kepada Bosnia dalam final play-off pada Selasa (31 Mac).

“Dengan hati yang berat, selepas gagal mencapai sasaran yang kami tetapkan, saya menganggap tempoh saya di bangku simpanan pasukan kebangsaan telah berakhir,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC), menurut agensi berita Itali ANSA.

“Pasukan kebangsaan Itali adalah aset paling berharga dalam bola sepak, sebab itu adalah wajar untuk memberi ruang kepada penilaian teknikal bagi masa depan dilakukan seawal mungkin,” kata bekas jurulatih pasukan kebangsaan itu.

Gattuso mengucapkan terima kasih kepada Presiden FIGC Gabriele Gravina dan ketua delegasi Gianluigi Buffon, bersama semua kakitangan Persekutuan atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan kepadanya.

Pengunduran itu menyusuli peletakan jawatan Gravina dan bekas penjaga gol Juventus serta Itali, Buffon, yang seperti Gattuso merupakan wira kemenangan Piala Dunia 2006.

Menurut ANSA yang menukil media Itali, ketua jurulatih Napoli Antonio Conte dan pengendali AC Milan Massimiliano Allegri menjadi pilihan utama untuk mengambil alih jawatan itu, manakala jurulatih yang membawa Itali menjuarai Kejuaraan Eropah 2020 Roberto Mancini serta jurulatih Palermo Filippi Inzaghi turut dilaporkan berada dalam senarai itu.

Sumber : AP/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita