Skip to main content

Sukan

PIALA DUNIA FIFA 2026: Ketua bola sepak Iran akan bertemu FIFA bagi jaminan negaranya akan dihormati sepanjang Piala Dunia

Anggaran Waktu Membaca:
PIALA DUNIA FIFA 2026:  Ketua bola sepak Iran akan bertemu FIFA bagi jaminan negaranya akan dihormati sepanjang Piala Dunia

Presiden Persekutuan Bola Sepak Iran, Mehdi Taj, dan Datuk Bandar Tehran, Alireza Zakani, berdiri di sebelah Trofi Piala Dunia FIFA. (Gambar fail: Majid Asgaripour/WANA (Agensi Berita Asia Barat) melalui REUTERS)

Diterbitkan : 07 May 2026 02:25PM Dikemas Kini : 07 May 2026 02:27PM
IRAN: Ketua bola sepak Iran, Mehdi Taj, berkata pada Rabu (6 Mei) bahawa beliau akan mengadakan pertemuan dengan Presiden FIFA, Gianni Infantino, dalam masa tiga atau empat hari lagi.

Beliau mahu mendapatkan jaminan bahawa negaranya akan dihormati sepanjang berlangsungnya Piala Dunia di Amerika Syarikat.

Kanada, yang menjadi penganjur bersama Piala Dunia dari 11 Jun hingga 19 Julai bersama Amerika Syarikat dan Mexico, menyatakan ia menghalang kemasukan Encik Taj minggu lalu disebabkan hubungannya dengan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC).

Encik Taj berkata pada Selasa (5 Mei) bahawa Iran tidak akan menyertai kejohanan itu jika FIFA tidak dapat menjamin rasa hormat terhadap institusi negaranya di Amerika Syarikat, di mana pasukan Iran akan menjadikannya pangkalannya dan bermain semua tiga perlawanan peringkat kumpulan.

"Kami akan memberitahu (FIFA) apa jangkaan kami. Jika mereka dapat memenuhinya, kami pasti akan mengambil bahagian," kata presiden FFIRI itu kepada badan penyiaran rasmi IRIB di Tehran pada Rabu.

"Tetapi jika tiada jaminan bahawa perkara itu akan dipenuhi, maka tiada siapa yang berhak menghina kami atau tonggak sistem negara kami. Dan jika mereka terus tidak menghormati kami, malah bertanyakan soalan-soalan sebegitu kepada para pemain kami, kami mungkin membuat keputusan yang berbeza."

Kedua-dua Amerika Syarikat dan Kanada menyifatkan IRGC sebagai "entiti pengganas" dan telah menjelaskan tidak akan membenarkan kemasukan individu yang mempunyai kaitan dengan pasukan tentera elit Iran itu.

Encik Taj, yang pernah berkhidmat sebagai pegawai berpangkat tinggi dalam IRGC sebelum menceburi bidang pentadbiran bola sepak, mendapat sokongan daripada jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmail Baghaei, atas pendiriannya itu pada Rabu.

"Lihat, pasukan bola sepak kebangsaan kita bukan sekadar 'melancong' ke Amerika Syarikat, sebaliknya kita ke sana untuk mengambil bahagian dalam Piala Dunia FIFA," kata Encik Esmaeil kepada wartawan di Tehran.

"Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab FIFA untuk menyediakan semua kemudahan dan syarat yang diperlukan. Pemerintah tuan rumah juga mempunyai tanggungjawab yang sangat jelas di bawah peraturan FIFA untuk membuat persiapan yang diperlukan dan mengeluarkan visa tanpa mengambil kira pertimbangan atau motif politik. Kami berharap FIFA, demi menjaga kredibiliti sendiri, akan mengambil langkah-langkah yang perlu."

Penyertaan Iran dalam Piala Dunia menjadi tanda tanya sejak Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan udara ke atas negara itu pada akhir Februari, yang mencetuskan peperangan di rantau berkenaan.

Encik Taj juga memaklumkan bahawa senarai awal 30 pemain untuk kejohanan itu akan dipilih minggu ini sebelum dikurangkan kepada 26 pemain muktamad selepas kem latihan di Turki.

Jurulatih Iran, Amir Ghalenoei, memberitahu media rasmi bahawa pasukan itu merancang untuk tiba di Amerika Syarikat 14 hari sebelum kejohanan bermula selepas tamat kem latihan selama dua minggu.

Encik Amir berkata beliau lebih suka pasukan itu mengadakan dua atau tiga perlawanan persahabatan, namun usaha untuk mengatur perlawanan tersebut agak sukar kerana ada pasukan yang menarik diri pada saat-saat akhir.

Oleh itu, pasukan tersebut akan kekal di Tehran selama seminggu lagi sebelum bertolak ke Turki pada 16 Mei. Di sana, Iran pernah mengadakan perlawanan persahabatan menentang Costa Rica dan Nigeria pada akhir Mac lalu.

Pasukan kebangsaan Iran dijadual memulakan kempen mereka menentang New Zealand di Los Angeles pada 15 Jun. Markas latihan pasukan itu di Amerika Syarikat akan terletak di Kompleks Sukan Kino di Tucson, Arizona.
Sumber : Reuters/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita