PIALA DUNIA FIFA 2026: Keputusan FIFA tangguh penggantungan Balogun cetus persoalan terhadap sistem kad merah
Ia sudah lama dianggap sebagai satu kepastian dalam bola sepak. Jika seseorang pemain dilayangkan kad merah di Piala Dunia FIFA, beliau akan terlepas aksi berikutnya.
Penyerang utama Amerika Syarikat, Folarin Balogun. (Gambar: REUTERS/Phil Noble)
Tiada pengecualian, tiada rayuan.
Namun keputusan untuk menggantung pelaksanaan hukuman kad merah terhadap penyerang utama Amerika Syarikat, Folarin Balogun, kini menimbulkan pelbagai persoalan.
Balogun, dilayangkan kad merah sewaktu perlawanan antara Amerika Syarikat dengan Bosnia dan Herzegovina dalam pusingan 32 terakhir, namun kini dibenarkan beraksi dalam perlawanan menentang Belgium pada pusingan 16 terakhir pada Isnin (6 Jul). Beliau merupakan penjaring terbanyak Amerika Syarikat dalam kejohanan itu dengan tiga gol.
Sepanjang sejarah Piala Dunia FIFA, sebanyak 189 kad merah telah dilayangkan dan hanya dua pemain tidak pernah menjalani penggantungan.
Seorang lagi ialah pemain legenda Brazil, Garrincha, yang dilayangkan kad merah ketika menentang Chile dalam separuh akhir Piala Dunia FIFA 1962 tetapi tetap beraksi dalam kemenangan Brazil ke atas Czechoslovakia pada perlawanan akhir.
Namun ketika itu, tiada penggantungan automatik yang dikenakan. Keputusan dibuat oleh jawatankuasa disiplin berdasarkan keterangan pegawai perlawanan.
Keputusan Jawatankuasa Tatatertib FIFA pada 1962 itu turut diselubungi dakwaan campur tangan politik. Keadaan yang sama mungkin berulang kali ini.
Memandangkan hubungan rapat yang diketahui umum antara Rumah Putih dengan FIFA, keputusan luar biasa yang memihak kepada salah satu tuan rumah kejohanan itu dijangka mengundang pelbagai persoalan.
Beberapa laporan media melaporkan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menghubungi Presiden FIFA Gianni Infantino awal minggu ini bagi meminta agar keputusan melayangkan kad merah terhadap Balogun disemak semula. BBC bagaimanapun belum dapat mengesahkan laporan tersebut.
Adakah keputusan tersebut mewujudkan duluan baharu dalam bola sepak?
Mengapa Balogun diberikan kelonggaran sedangkan 11 pemain lain yang dilayangkan kad merah pada Piala Dunia FIFA kali ini tetap menjalani penggantungan?
Adakah ia akan mendorong lebih banyak rayuan pada masa depan bagi mengurangkan tempoh penggantungan walaupun kad merah itu sah mengikut peraturan permainan?
Selepas ini, apabila siaran televisyen memaparkan bahawa pemain yang dilayangkan kad merah akan "terlepas perlawanan berikutnya", adakah perkara itu masih boleh dianggap sebagai satu kepastian?
Berikut penjelasan mengenai keputusan tersebut, apa yang diketahui setakat ini dan kemungkinan implikasinya.
FIFA TIDAK BERIKAN PENJELASAN
Persoalan utama yang kini dibangkitkan ramai ialah: bagaimana perkara ini boleh berlaku?
Kod Tatatertib FIFA menyatakan bahawa Balogun sepatutnya digantung selama sekurang-kurangnya dua perlawanan kerana melakukan kekasaran serius semasa perlawanan.
Malah, peraturan Piala Dunia FIFA juga tidak membenarkan pasukan untuk membuat rayuan terhadap kad merah yang dilayangkan.
Dalam kenyataannya, FIFA tidak memberikan sebarang sebab atau penjelasan mengapa hukuman Balogun digantung pelaksanaannya. Ia hanya merujuk kepada "Perkara 27 Kod Tatatertib FIFA".
Perkara 27 membenarkan FIFA "menggantung sepenuhnya atau sebahagian daripada pelaksanaan sesuatu tindakan tatatertib".
Peruntukan itu memberi kuasa yang luas kepada FIFA untuk membuat keputusan sedemikian tanpa perlu memenuhi syarat-syarat tertentu.
Perkara 27 tidak pernah digunakan di Piala Dunia FIFA sebelum ini.
BBC Sport bertanya mengapa langkah itu diambil.
Namun, tiada penjelasan diberikan. Sebaliknya, BBC hanya dirujuk kepada kes penggantungan Cristiano Ronaldo yang digantung pelaksanaannya sebelum kejohanan ini.
Mengikut Kod Tatatertib FIFA, Ronaldo sepatutnya dikenakan penggantungan tiga perlawanan selepas menyiku Dara O'Shea ketika Portugal kalah 0-2 kepada Republik Ireland dalam aksi kelayakan pada November lalu.
Ronaldo kemudian menjalani penggantungan bagi satu perlawanan ketika menentang Armenia dalam aksi kelayakan terakhir, manakala baki dua lagi perlawanan digantung pelaksanaannya.
Namun kad merah Ronaldo diterima dalam aksi kelayakan, bukannya di Piala Dunia FIFA.
Sebelum ini terdapat beberapa pemain lain yang turut diberikan kelonggaran sebelum kejohanan bermula, termasuk Laurent Koscielny dari Perancis pada 2014 serta Moises Caicedo dari Ecuador dan Nicolas Otamendi dari Argentina sebelum Piala Dunia FIFA kali ini.
Sekurang-kurangnya dalam kes Ronaldo, FIFA memberikan sebab dengan menyatakan bahawa ia mengambil kira hakikat bahawa beliau "tidak pernah dilayangkan kad merah dalam 225 penampilan antarabangsa sebelum ini".
Bagi Balogun pula, penjelasan sedemikian langsung tidak diberikan.
Keadaan itu mewujudkan kekosongan maklumat yang hanya mengundang pelbagai spekulasi.
Mengapa kes ini dianggap istimewa? Faktor apakah yang diambil kira? Siapa yang membuat keputusan?
BBC Sport dimaklumkan, tiada petunjuk di mana pengadil meminta agar penggantungan itu dibatalkan atau bahawa protokol Penolong Pengadil Video (VAR) tidak dipatuhi.
Di England, Persatuan Bola Sepak (FA) lazimnya akan menerbitkan sebab penuh secara bertulis.
Amerika Syarikat berhak meminta FIFA untuk menerbitkan sebab tersebut, namun Belgium tidak mempunyai hak untuk berbuat demikian.
Bekas pemain pertahanan England yang kini menjadi pengulas BBC Sport, Micah Richards, menyifatkan keputusan itu sebagai sesuatu yang memalukan.
"Menggantung pelaksanaan hukuman selama setahun menjadikan keseluruhan kejohanan ini seperti bahan jenaka," kata beliau.
"Ia seolah-olah dilakukan semata-mata untuk memastikan pemain yang berpengaruh terus berada dalam kejohanan itu. Bagaimana perkara seperti ini boleh berlaku? FIFA perlu melakukan dengan lebih baik lagi.
"Keputusan ini meninggalkan rasa tidak puas hati dalam kalangan ramai pihak."
Belgium sememangnya berang dengan keputusan itu. Persatuan Bola Sepak Diraja Belgium (RBFA) mengeluarkan kenyataan pada Ahad bahawa mereka "terkejut" Balogun dibenarkan untuk beraksi.
RBFA turut merujuk kepada beberapa peraturan, pembentangan bengkel dan mesyuarat penyelarasan sebelum kejohanan.
Mereka menegaskan keputusan itu bercanggah dengan peraturan kejohanan yang menyatakan bahawa para pemain "akan digantung secara automatik daripada perlawanan berikutnya".
Menurut mereka, FIFA pada hakikatnya menggunakan Kod Tatatertib untuk mengatasi peraturan pertandingan.
Jurulatih Belgium, Rudi Garcia, berkata pada sidang media: "Saya tidak tahu bahawa di Piala Dunia FIFA, 5 Julai kini menjadi 1 April, iaitu Hari April Fool's.
"Kami bukan mempertahankan pasukan nasional atau persatuan, kami mempertahankan bola sepak."
Apakah pula yang difikirkan pemain lain yang telah menjalani penggantungan akibat kad merah di kejohanan ini?
Sebagai contoh, pemain Qatar, Assim Madibo, yang terlibat dalam satu kejadian malang sehingga menyebabkan pemain tengah Kanada, Ismael Kone, patah kaki.
Terdapat hujah bahawa Madibo sebenarnya tidak melakukan terjahan yang disengajakan dan kecederaan itu berlaku secara kebetulan, bukan akibat tindakannya.
Namun FIFA tetap mengenakan penggantungan lima perlawanan ke atas Madibo, iaitu tiga perlawanan tambahan selain hukuman standard bagi permainan kasar yang serius.
ADAKAH KEPUTUSAN ITU BAKAL MENJADI SATU DULUAN?
Adakah kad merah Balogun terlalu keras? Ya.
Penyerang itu sedang mencabar Tarik Muharemovic sebelum memijak buku lali pemain Bosnia itu secara tidak sengaja.
Namun hukuman yang dianggap keras tidak bermakna ia salah atau begitu melampau sehingga FIFA perlu campur tangan.
Adakah FIFA kini akan menarik balik setiap penggantungan akibat kad merah yang berpunca daripada tindakan yang tidak disengajakan?
Para jurulatih pasti akan menggunakan hujah itu. Duluan telah diwujudkan, maka mereka akan menuntut layanan yang konsisten.
Niat pemain sekian lama tidak difaktorkan sebagai pertimbangan utama dalam peraturan permainan. Sebaliknya, hanya kesan sesuatu tindakan yang diambil kira.
Contohnya, kad merah yang diterima Xavi Simons ketika menentang Liverpool Disember lalu. Penyerang Tottenham itu tidak berniat untuk memijak belakang kaki Virgil van Dijk, namun tindakannya tetap dianggap membahayakan keselamatan lawan.
Jurulatih Tottenham ketika itu, Thomas Frank, mengkritik penggantungan automatik tiga perlawanan yang dikenakan, namun kelab itu tidak membuat rayuan kerana percaya bahawa peluang untuk berjaya dalam membuat rayuan adalah amat tipis.
Keputusan membabitkan Balogun turut menambah kebimbangan dalam kalangan liga domestik mengenai beberapa keputusan sepanjang Piala Dunia FIFA kali ini.
Ramai berpendapat jumlah kad kuning yang rendah, pelaksanaan VAR serta tafsiran terhadap beberapa undang-undang baharu sukar diaplikasikan secara konsisten di peringkat liga.
Namun para penyokong akan menjangkakan layanan yang sama.
Dengan membatalkan penggantungan Balogun, keadaan itu hanya akan menyukarkan badan-badan bola sepak lain.
Mengapa FA tidak boleh menunjukkan kelonggaran seperti FIFA?
Tidakkah penggantungan yang dianggap berlebihan seperti yang dialami Simons juga patut dinilai semula?
ADAKAH TRUMP TERLIBAT?
Salah satu prinsip utama proses tatatertib Piala Dunia FIFA ialah keputusan kad merah tidak boleh dirayu.
Jadi mengapa FIFA mewujudkan pengecualian khas untuk pemain kuat negara tuan rumah?
Kad merah dan penggantungan Balogun mencetuskan kemarahan di Amerika Syarikat.
Ada pihak yang menuduh Balogun menerima "hukuman berganda" kerana pemain itu bukan sahaja terlepas baki 27 minit perlawanan menentang Bosnia dan Herzegovina, malah turut digantung bagi aksi menentang Belgium.
Media dan pentadbiran Amerika Syarikat turut memberi tekanan terhadap isu tersebut. Setiausaha Negara Marco Rubio berkata Amerika Syarikat "dianiaya dengan kad merah itu" dan bahawa "perlu adanya proses rayuan", pada Jumaat.
Namun tiada sesiapa yang menjangkakan FIFA akan memberikan kelonggaran khas yang membolehkan bekas penyerang Arsenal itu beraksi semula.
Hakikatnya kini, Balogun hanya terlepas baki perlawanan menentang Bosnia dan kini bebas untuk beraksi semula.
Reuters, AFP dan New York Times melaporkan bahawa Encik Trump dipercayai menghubungi Encik Infantino pada Rabu, sehari selepas perlawanan menentang Bosnia, dan meminta agar penggantungan Balogun disemak semula.
BBC Sport bagaimanapun belum dapat mengesahkan laporan tersebut.
Pada Ahad malam, Encik Trump mengucapkan terima kasih kepada FIFA kerana "membetulkan satu ketidakadilan besar" menerusi catatan di Truth Social.
Jika benar, keadaan itu mengingatkan ramai kepada kes Garrincha apabila campur tangan politik dikatakan membolehkan pemain Brazil itu untuk beraksi semula.
Jawatankuasa Etika FIFA sebelum ini turut diminta untuk menyiasat Encik Infantino atas tuduhan melanggar prinsip berkecuali politik badan induk bola sepak dunia itu berhubung penganugerahan Hadiah Keamanan FIFA kepada Encik Trump.
Statut FIFA melarang campur tangan politik dalam bola sepak.
Jika terbukti pentadbiran Amerika Syarikat benar-benar memainkan peranan dalam keputusan tersebut, lebih banyak persoalan dijangka timbul.
Namun sebelum itu, semua tumpuan kini terarah kepada Balogun dan Amerika Syarikat menjelang pertemuannya dengan Belgium pada Isnin.
Ikuti liputan penuh Piala Dunia FIFA 2026 termasuk keputusan, jadual perlawanan dan sedutan video dalam laman mikro khas kami.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.