Skip to main content

Sukan

PIALA DUNIA FIFA 2026: Kane enggan dibandingkan dengan Haaland, ketepikan perebutan But Emas

Kapten England, Harry Kane, enggan dibandingkan dengan penyerang Norway, Erling Haaland, pada Jumaat (10 Jul) sedang beliau bersiap sedia untuk menghadapi perlawanan suku akhir Piala Dunia FIFA 2026.

Anggaran Waktu Membaca:
PIALA DUNIA FIFA 2026: Kane enggan dibandingkan dengan Haaland, ketepikan perebutan But Emas

Pemain England Harry Kane semasa sidang media pada 10 Julai 2026. (Gambar: REUTERS/Marco Bello)

Diterbitkan : 11 Jul 2026 03:07PM
MIAMI: Kapten England, Harry Kane, enggan dibandingkan dengan penyerang Norway, Erling Haaland, pada Jumaat (10 Jul) sedang beliau bersiap sedia untuk menghadapi perlawanan suku akhir Piala Dunia FIFA 2026.

Pertemuan tersebut berpotensi menjadi penentu kepada perebutan But Emas kejohanan itu.

Kane kini ketinggalan satu gol di belakang Haaland, yang sudah menjaringkan tujuh gol. Kedua-duanya sedang mengejar pendahulu Lionel Messi dan Kylian Mbappe yang masing-masing sudah menjaringkan lapan gol.

Apabila ditanya siapa penyerang yang lebih baik, Kane, yang memenangi But Emas Piala Dunia FIFA pada 2018, mengelak daripada memberikan jawapan secara langsung.

"Soalan itu mustahil untuk saya jawab. Pertama sekali, saya rasa kami hampir merupakan dua jenis pemain yang berbeza. Saya tahu kami sama-sama merupakan penyerang utama, tetapi kami bermain di posisi yang agak berbeza," kata Kane kepada para wartawan pada Jumaat.

"Saya melihat diri saya sebagai pemain yang berbeza walaupun menjaringkan gol yang sama. Saya mungkin lebih gemar menguasai bola, tetapi saya juga boleh bermain sebagai penyerang tengah."

‘BELIAU LUAR BIASA'

Bagaimanapun, pemain berusia 32 tahun itu tetap memuji pencabarnya.

"Erling memang luar biasa. Dari segi fizikal, beliau seperti sebuah jentera, sangat gagah. Penyudahannya berada pada tahap tertinggi dan rekod jaringannya jelas membuktikannya.

"Saya sangat menghormatinya sebagai pemain dan juga sebagai rakan profesional. Sudah tentu saya berharap beliau tidak menyerlah esok, tetapi prestasinya sejak beberapa tahun kebelakangan ini sudah cukup membuktikan kemampuannya. Beliau pemain yang hebat," tambah Kane.

Walaupun berpeluang untuk memenangi anugerah individu itu, Kane menegaskan kejayaan England tetap menjadi keutamaannya.

"Matlamat utama saya ialah memenangi Piala Dunia FIFA bersama England, bukannya But Emas.

"Tetapi saya juga tahu saya ialah penjaring gol pasukan. Saya penyerang utama. Jadi jika saya menjaringkan gol, ia tentunya membantu pasukan," kata beliau.

KANE BAKAL MENYAMAI REKOD ROONEY

Kane bakal menyamai rekod Wayne Rooney sebagai pemain bukan penjaga gol England yang paling banyak beraksi, iaitu 120 penampilan, apabila menentang Norway di Stadium Miami pada Sabtu.

"Sudah tentu saya amat berbangga dapat menyamai jumlah penampilan 'Wazza', salah seorang pemain terbaik England sepanjang zaman," kata Kane.

"Saya tidak suka melihat terlalu jauh ke hadapan. Saya lebih suka menetapkan sasaran kecil, mungkin sebulan atau enam minggu pada satu-satu masa.

"Musim ini berjalan dengan baik dari segi itu, tetapi masih banyak perlawanan penting yang perlu diharungi. Itulah yang membuatkan saya terus bersemangat."

Jurulatih England, Thomas Tuchel, turut melontarkan pujian tinggi kepada kaptennya itu.

"Kami bercakap tentang Harry sebelum setiap perlawanan kerana dialah yang menentukan keputusan untuk kami.

"Beliau pemimpin kami dan memimpin melalui teladan. Beliau berada pada prestasi terbaik dalam hidupnya dan di puncak kerjayanya.

"Beliau mempunyai pemikiran seorang pemain berpasukan. Beliau sentiasa bersedia memimpin melalui teladan, memberi semangat kepada semua orang, memikul tanggungjawab serta membantu pasukan.

"Ia satu keistimewaan memiliki beliau sebagai kapten dan satu keistimewaan buat saya sebagai jurulatihnya," kata Tuchel.

Ikuti liputan penuh Piala Dunia FIFA 2026 termasuk keputusan, jadual perlawanan dan sedutan video dalam laman mikro khas kami.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita