PIALA DUNIA FIFA 2026: Kanada tumpaskan Qatar 6-0
Penyerang Kanada, Jonathan David, mencuri tumpuan apabila merembatkan hatrik di laman sendiri, sekali gus membantu skuad The Canucks membelasah Qatar 6-0 dalam aksi Kumpulan B Piala Dunia 2026 di Stadium BC Place, awal pagi tadi (19 Jun).
Pemain Kanada Jonathan David (kanan) meraikannya bersama Stephen Eustaquio selepas menjaringkan gol ketiga pasukan mereka dalam perlawanan Kumpulan B Piala Dunia FIFA 2026 menentang Qatar di BC Place di Vancouver pada 18 Jun 2026. (Foto: Reuters/Agustin Marcarian)
VANCOUVER: Penyerang Kanada, Jonathan David, mencuri tumpuan apabila merembatkan hatrik di laman sendiri, sekali gus membantu skuad The Canucks membelasah Qatar 6-0 dalam aksi Kumpulan B Piala Dunia 2026 di Stadium BC Place, awal pagi tadi (19 Jun).
Ia juga merupakan kemenangan pertama Kanada di pentas Piala Dunia.
Jonathan David tampil sebagai wira utama apabila menyempurnakan tiga jaringan dalam perlawanan yang dikuasai pasukan tuan rumah, selain mencatat sejarah sebagai pemain Kanada pertama menjaringkan hatrik di laman sendiri dalam pertandingan Piala Dunia.
Perlawanan mula berubah seawal minit ke-33 apabila Qatar terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas seorang tonggak mereka dilayangkan kad merah susulan terjahan keras yang disemak semula menerusi Video Bantuan Pengadil (VAR).
Kanada yang mendapat sokongan padu penyokong sendiri tidak menunggu lama untuk menghukum lawan, apabila serangan bertali arus mereka terus membolosi benteng Qatar yang jelas bergelut sepanjang perlawanan.
Walaupun Qatar cuba bertahan, tekanan berterusan Kanada akhirnya membawa kepada pesta gol besar yang menutup perlawanan dengan keputusan 6-0.
Kemenangan bergaya itu meletakkan Kanada dalam kedudukan selesa dalam kumpulannya, sekali gus meningkatkan keyakinan mereka untuk melangkah lebih jauh dalam kempen Piala Dunia kali ini.
Ikuti liputan penuh Piala Dunia FIFA 2026 termasuk keputusan, jadual perlawanan dan sedutan video dalam laman mikro khas kami.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.