PIALA DUNIA FIFA 2026: Kanada jaring gol pada saat akhir untuk mara ke pusingan 16 terbaik
Kanada mencipta sejarah untuk mara ke pusingan 16 pasukan terbaik Piala Dunia buat kali pertama selepas mengalahkan Afrika Selatan 1-0 hasil gol dalam masa kecederaan oleh Stephen Eustaquio pada Ahad (28 Jun).
Stephen Eustaquio dari Kanada menjaringkan gol pertama bersama rakan sepasukan. (Gambar: Reuters/Matthew Childs)
INGLEWOOD: Kanada mencipta sejarah untuk mara ke pusingan 16 pasukan terbaik Piala Dunia buat kali pertama selepas mengalahkan Afrika Selatan 1-0 hasil gol dalam masa kecederaan oleh Stephen Eustaquio pada Ahad (28 Jun).
Eustaquio menerima bola di hujung kotak penalti Afrika Selatan dan merembat bola melepasi penjaga gawang Ronwen Williams dalam babak mendebarkan pada saat-saat akhir, dalam perlawanan pertama peringkat kalah mati.
Afrika Selatan, yang sebelum itu kelihatan berpuas hati untuk meneruskan permainan dalam masa tambahan dan memecahkan kebuntuan menerusi tendangan penalti, mengasak gawang Kanada tetapi gagal menembusinya untuk menyamakan kedudukan sebelum wisel penamat di Stadium Los Angeles.
Kanada akan bertemu sama ada Belanda atau Maghribi di Houston pada 4 Julai untuk merebut tempat ke peringkat suku akhir.
"Ini tentang perjalanan kita selama dua tahun bersama," kata jurulatih Kanada Jesse Marsch kepada pasukannya selepas wisel penamat.
"Fikirkan bagaimana kita bercakap tentang perlunya berpegang pada rancangan... tentang kalian menunjukkan siapa kita. Kalian semua wira Kanada."
SEPARUH MASA PERTAMA TEGANG
Peluang menjaringkan gol terhad dalam separuh masa pertama, dengan kedua-dua pasukan bermain dengan amat berhati-hati. Ini adalah kali pertama kedua-dua pasukan bermain di peringkat pusingan kalah mati.
Peluang terbaik Kanada datang sejurus sebelum separuh masa pertama tamat apabila sepakan sudut mencetuskan rempuhan di dalam kotak penalti Afrika Selatan, dengan Moise Bombito merembat bola ke gawang. Tetapi, ia diselamatkan oleh Aubrey Modiba sebelum percubaan jarak dekat Tajon Buchanan terkena dada Williams.
Beberapa saat kemudian, Richie Laryea jatuh di dalam kotak penalti, mencetuskan rayuan Kanada agar tendangan penalti diberikan, tetapi pengadil menolak selepas semakan VAR. Ini sekali gus mendorong ribuan penyokong Kanada mengejek keputusan tersebut.
Marsch terus membantah sedang kedua-dua pasukan meninggalkan padang pada waktu rehat, dengan Bombito kelihatan menggesa beliau agar menjauhi pengadil.
Kekecewaan Kanada hanya bertambah pada awal separuh masa kedua sedang Afrika Selatan kelihatan tidak tergesa-gesa.
Kanada sekali lagi hampir menjaringkan gol sejurus sebelum waktu rehat minuman dalam separuh masa kedua apabila rembatan Tani Oluwaseyi terkena penjaga gawang dan Jonathan David pula gagal menanduk bola masuk ke gawang hasil pertahanan cemerlang Mbekezeli Mbokazi yang berjaya menepis bola.
Ikuti liputan penuh Piala Dunia FIFA 2026 termasuk keputusan, jadual perlawanan dan sedutan video dalam laman mikro khas kami.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.