Skip to main content

Sukan

PIALA DUNIA FIFA 2026: Kanada bangkit ikat Bosnia 1-1 hasil jaringan gol Larin

Untuk sebahagian besar perlawanan pembukaan Kumpulan B Piala Dunia FIFA 2026 antara Kanada dengan Bosnia dan Herzegovina, tuan rumah bersama itu pada awalnya kelihatan bakal pulang dalam keadaan hampa.

Anggaran Waktu Membaca:
PIALA DUNIA FIFA 2026: Kanada bangkit ikat Bosnia 1-1 hasil jaringan gol Larin

Penyerang Kanada, Cyle Larin meraikan gol yang dimasukkannya semasa perlawanan pembukaan Kumpulan B Piala Dunia FIFA 2026, pada 13 Jun 2026. (Gambar: REUTERS/Kevin Sousa)

Diterbitkan : 13 Jun 2026 06:51AM Dikemas Kini : 15 Jun 2026 02:55PM
TORONTO: Untuk sebahagian besar perlawanan pembukaan Kumpulan B Piala Dunia FIFA 2026 antara Kanada dengan Bosnia dan Herzegovina, tuan rumah bersama itu pada awalnya kelihatan bakal pulang dalam keadaan hampa. Namun, penyerang Cyle Larin yang masuk sebagai pemain gantian berjaya meredakan kegelisahan mereka dengan gol penyamaan yang menghadiahkan satu mata berharga.

Beraksi dalam perlawanan Piala Dunia FIFA lelaki pertama di tanah air sendiri, Kanada menguasai sebahagian besar permainan dan mencipta banyak peluang.

Bagaimanapun, gol mengejut daripada Jovo Lukic untuk Bosnia pada minit ke-21 meletakkan tuan rumah bersama Piala Dunia itu dalam kedudukan sukar, sebelum Larin tampil menyelamatkan keadaan.

Selepas menghabiskan 76 minit di bangku simpanan selepas tidak disenaraikan antara 11 pemain utama pilihan, Jesse Marsch, penyerang Southampton itu mempunyai sesuatu untuk dibuktikan dan menjaringkan gol kurang tiga minit selepas masuk ke padang menerusi satu gerakan berpusing dan rembatan yang menarik.

"Saya mahu bermain dalam setiap perlawanan dan saya sudah bekerja keras sepanjang musim bersama kelab saya untuk bermain dalam setiap perlawanan. Namun, ada kalanya perkara itu di luar kawalan anda. Apa yang penting, saya perlu membuktikan kemampuan apabila diturunkan dan saya rasa saya sudah melakukannya hari ini," kata beliau kepada televisyen Kanada.

Kanada berjaya menyerang dari bahagian sayap dan menghantar bola ke dalam kotak penalti, namun serangan mereka tidak mempunyai kekuatan utama yang benar-benar dominan dan pertahanan Bosnia berjaya menangani kebanyakan daripada ancamannya dengan agak mudah.

Keadaan berubah apabila Larin yang berusia 31 tahun dimasukkan, memberikan Kanada kawalan yang amat diperlukan, sebelum menjaringkan gol yang meletakkan mereka dalam kedudukan baik menjelang perlawanan seterusnya menentang Qatar di Vancouver pada 18 Jun.

"Saya rasa kami hanya perlu kekal fokus pada setiap saat, dan itulah cabaran di Piala Dunia," kata Larin. "Saya rasa kami melepaskan gol menerusi situasi bola mati, dan kami perlu membina keyakinan daripada perlawanan ini.

"Kami akan bermain di padang sendiri sekali lagi di Vancouver dan kami perlu terus meningkatkan prestasi serta lebih tajam ketika menguasai bola."

Meskipun kelihatan tertekan dek harapan tinggi para penyokong tuan rumah sepanjang sebahagian besar perlawanan, pemain pertahanan Alistair Johnston berkata para penyokong memainkan peranan penting dalam kebangkitan Kanada.

"Rasanya mereka seperti membantu menolak bola itu masuk ke dalam gawang untuk kami ... dan kami perlu terus membina momentum itu. Kami perlukan sokongan para penyokong kami," kata beliau kepada televisyen Kanada.

Ikuti liputan penuh Piala Dunia FIFA 2026 termasuk keputusan, jadual perlawanan dan sedutan video dalam laman mikro khas kami.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita