Skip to main content

Sukan

PIALA DUNIA FIFA 2026: Jurulatih Korea Selatan letak jawatan setelah pasukan tersingkir

Kurang 24 jam selepas penyingkiran pasukannya daripada Piala Dunia FIFA 2026 disahkan, jurulatih Korea Selatan Hong Myung-Bo mengumumkan beliau sudah meletak jawatan.

Anggaran Waktu Membaca:
PIALA DUNIA FIFA 2026: Jurulatih Korea Selatan letak jawatan setelah pasukan tersingkir

Hong Myung-bo meletak jawatan sebagai ketua jurulatih Korea Selatan sehari selepas pasukannya tersingkir dari Piala Dunia. (Gambar: Antonio Ojeda/ZUMA Press Wire/Shutterstock)

Diterbitkan : 29 Jun 2026 08:55AM Dikemas Kini : 29 Jun 2026 09:19AM
  • Hong Myung-Bo mengumumkan peletakan jawatan sebagai jurulatih Korea Selatan selepas pasukan tersingkir dari Piala Dunia FIFA 2026.
  • Keputusan ini dibuat kurang 24 jam selepas presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung, mengkritik prestasi pasukan dan mengarahkan semakan program bola sepak negara.
  • Hong menyatakan beliau bertanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan pasukan dan memohon maaf kepada penyokong bola sepak Korea.
  • Pengunduran ini menandakan kali kedua Hong meletak jawatan selepas prestasi buruk pasukan di Piala Dunia, menyebabkan skuad negara dalam keadaan tidak menentu.
Dijana oleh AI

MEXICO: Kurang 24 jam selepas penyingkiran pasukannya daripada Piala Dunia FIFA 2026 disahkan, jurulatih Korea Selatan Hong Myung-Bo mengumumkan beliau sudah meletak jawatan.

Keputusan Hong itu menyusuli kecaman hebat presiden Korea Selatan, yang menyifatkan jurulatih skuad negara itu sebagai "tidak berkeupayaan" dan mengarahkan semakan menyeluruh terhadap program pasukan kebangsaan.

Hong berdepan pihak media pada pagi Ahad di Guadalajara, Mexico, di mana pasukannya berada sementara menunggu keputusan mengenai kelayakan ke pusingan kalah mati setelah mereka selesai dengan kempen Kumpulan A pada Rabu (24 Jun).

Pasukan itu berada di tempat ketiga dalam Kumpulan A dengan satu kemenangan dan dua kekalahan.

Dengan keputusan yang diterima bukan seperti yang diharapkan, harapan Korea Selatan untuk ke pusingan 32 pasukan terakhir, sebagai salah satu pasukan terbaik di tempat ketiga, secara rasmi berakhir pada Sabtu.

Ketika membacakan kenyataan yang disediakan dan tanpa memberi para wartawan bertanya soalan, Hong berkata: "Pertama sekali, saya ingin meminta maaf kepada semua yang mencintai bola sepak Korea dan sentiasa menyokong pasukan negara. Hari ini, saya putuskan untuk berundur sebagai ketua jurulatih pasukan bola sepak negara Republik Korea.

"Menerima peranan sebagai ketua jurulatih skuad negara sememangnya bukan keputusan mudah untuk saya. Tetapi mulai saat saya memilih untuk menerima jawatan ini, saya tidak pernah memikirkan tentang sebarang sebab atau alasan. Saya percaya satu-satunya tugas saya adalah untuk memenuhi tanggungjawab yang diamanahkan kepada saya sehingga ke penghujungnya.

"Sepanjang dua tahun lalu, saya sentiasa bertanya soalan yang sama kepada diri saya: 'Adakah ini keputusan terbaik bagi bola sepak Korea?' Sama ada membuat keputusan penting bagi skuad negara, memilih pemain, membuat persiapan bagi sesi latihan atau memimpin pasukan dalam perlawanan, saya tidak pernah berhenti menanyakan soalan itu.

"Saya tidak boleh katakan bahawa setiap keputusan yang saya buat adalah betul. Tetapi saya boleh katakan bahawa standard yang saya gunakan untuk membuat keputusan adalah sesuatu yang saya percaya adalah yang terbaik untuk bola sepak Korea."

Hong memikul tanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan Korea Selatan untuk mengulangi keputusan mereka semasa Piala Dunia FIFA 2022, di mana mereka maju ke peringkat berkumpulan sebelum tewas 4-1 di tangan Brazil dalam pusingan 16.

Pengunduran Hong menandakan tempoh kedua yang mengecewakan baginya sebagai ketua jurulatih Korea Selatan.

Beliau juga meletak jawatan sejurus selepas Piala Dunia FIFA 2014, setelah skuad negara mencatatkan prestasi terburuk dalam temasya sukan itu sejak 1998.

Peletakan jawatan awal itu menyebabkan skuad negara berada dalam keadaan kocar-kacir dan mengundang kecaman tajam daripada Presiden Lee Jae Myung, yang mengeluarkan kata-kata pedas terhadap jurulatih itu.

Ikuti liputan penuh Piala Dunia FIFA 2026 termasuk keputusan, jadual perlawanan dan sedutan video dalam laman mikro khas kami.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita