Skip to main content

Sukan

PIALA DUNIA FIFA 2026: Jaringan 2 gol Haaland pastikan Norway tundukkan Senegal 3-2

Anggaran Waktu Membaca:
PIALA DUNIA FIFA 2026: Jaringan 2 gol Haaland pastikan Norway tundukkan Senegal 3-2

Penyerang Norway, Erling Haaland, meraikan jaringan ketiga pasukannya dalam perlawanan Kumpulan I Piala Dunia antara Norway dan Senegal di East Rutherford, New Jersey, berhampiran New York, pada 22 Jun 2026. (Gambar: AP/Steve Luciano)

Diterbitkan : 23 Jun 2026 12:53PM
EAST RUTHERFORD: Erling Haaland menjaringkan dua gol untuk perlawanan kedua berturut-turut bagi membantu Norway mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia FIFA 2026 selepas menundukkan Senegal 3-2 pada Isnin (22 Jun).

Norway dan Perancis masing-masing memperolehi enam mata daripada dua perlawanan menjelang aksi terakhir Kumpulan I di Foxborough, Massachusetts.

Perancis mendahului kumpulan menerusi kelebihan jaringan gol, sekali gus hanya memerlukan keputusan seri untuk muncul juara kumpulan.

Senegal pula di ambang penyingkiran menjelang perlawanan menentang Iraq di Toronto, dengan kedua-dua pasukan masih belum mengutip sebarang mata selepas kalah dalam dua perlawanan pertama.

Selepas gol pemain gantian Marcus Holmgren Pedersen pada minit ke-43 dan Haaland pada minit ke-48, Senegal merapatkan jurang menerusi Ismaila Sarr pada minit ke-53 sebelum Haaland kembali meletakkan Norway di depan dengan kelebihan dua gol pada minit ke-58.

Sarr kemudian mencetuskan debaran pada penghujung permainan apabila menjaringkan gol kedua Senegal pada minit ketiga masa kecederaan separuh masa kedua untuk menjadikan kedudukan 3-2.

Haaland, yang turut menjaringkan dua gol dalam penampilan sulungnya di Piala Dunia menentang Iraq, menjaringkan gol kedua Norway selepas Martin Odegaard membuat hantaran melepasi dua pemain pertahanan lawan.

Walaupun tergelincir ketika melakukan percubaan, bola tendangan Haaland itu tetap berjaya melepasi penjaga gol Senegal.

Sarr sebelum itu berjaya menahan asakan dua pemain pertahanan sebelum menjaringkan gol dari tengah petak penalti untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Namun Norway segera memberi tekanan dan memaksa Senegal melakukan kesilapan, sebelum Patrick Berg mengesan kedudukan Haaland.

Walaupun menerima hantaran pada paras pinggang, Haaland masih mampu melepaskan rembatan kaki kanan untuk gol keduanya.

Penyerang Manchester City itu kini sudah menjaringkan 24 gol sepanjang 12 perlawanan berturut-turut dengan jaringan untuk Norway dalam aksi kompetitif, dan 59 gol dalam 52 penampilan antarabangsa secara keseluruhannya.

Tidak lama selepas itu, penjaga gol Senegal, Edouard Mendy, yang menyelamatkan bola sebanyak tiga kali, terpaksa keluar padang akibat kecederaan dan digantikan oleh Mory Diaw.

Norway memulakan perlawanan dengan agresif tetapi gagal memecah kebuntuan meskipun memperoleh empat tendangan penjuru berturut-turut.

Mendy mempamerkan aksi cemerlang seawal minit keempat untuk memastikan gawang Senegal tidak dibolosi.

Tendangan penjuru Julian Ryerson menemui Kristoffer Ajer yang tidak dikawal di dalam petak penalti, namun tandukannya berjaya diselamatkan Mendy di garisan gol sebelum beliau menepis bola keluar ketika terjatuh.

Pedersen masuk padang pada minit ke-12 menggantikan Ryerson yang cedera, dan kesilapan kapten Senegal, Kalidou Koulibaly, membuka ruang kepada gol pembukaan Norway.

Hantaran Odegaard yang cuba dipintas Koulibaly jatuh tepat kepada Pedersen, yang melepaskan rembatan yang terkena dan dihalang lengan kiri Mendy.

Ikuti liputan penuh Piala Dunia FIFA 2026 termasuk keputusan, jadual perlawanan dan sedutan video dalam laman mikro khas kami.
Sumber : Reuters/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita