Skip to main content

Sukan

PIALA DUNIA FIFA 2026: Iran seri 2-2 dengan New Zealand dalam perlawanan Kumpulan G di LA

Anggaran Waktu Membaca:
PIALA DUNIA FIFA 2026: Iran seri 2-2 dengan New Zealand dalam perlawanan Kumpulan G di LA
Diterbitkan : 16 Jun 2026 12:32PM Dikemas Kini : 16 Jun 2026 12:57PM
  • Iran dan New Zealand seri 2-2 dalam perlawanan Kumpulan G Piala Dunia FIFA 2026 di Stadium Los Angeles pada 15 Jun, dengan kedua-dua pasukan saling membalas gol.
  • Perlawanan berlangsung dalam suasana tegang akibat bantahan terhadap pemerintah Iran dan isu perjanjian perang Amerika-Iran, dengan penunjuk perasaan berkumpul di luar stadium.
  • Kebanyakan penonton menyokong pasukan Iran, namun terdapat juga penyokong yang membawa bendera pra-revolusi dan mengejek lagu kebangsaan Iran.
  • Keputusan seri ini menyebabkan semua pasukan dalam Kumpulan G memperoleh satu mata, dan Iran serta New Zealand akan meneruskan aksi menentang Belgium dan Mesir selepas ini.
Dijana oleh AI
INGLEWOOD: Iran dua kali bangkit daripada ketinggalan untuk mencatatkan keputusan seri 2-2 dengan New Zealand dalam perlawanan Piala Dunia FIFA 2026 di Stadium Los Angeles pada Isnin (15 Jun), sedang bantahan terhadap pemerintah Iran dan perjanjian sementara untuk menamatkan perang Amerika-Iran membentuk latar belakang perlawanan yang tegang.

New Zealand mendahului perlawanan apabila Elijah Just menjaringkan gol dari dalam peta penalti selepas diumpan oleh Chris Wood.

Gol itu diraikan oleh beberapa penyokong yang mengkritik pemerintah Iran, yang kebanyakannya membawa bendera Singa dan Matahari sebelum revolusi Iran. Ada juga yang mengejek lagu kebangsaan Iran sebelum sepak mula.

Tetapi kebanyakan penonton sekitar 70,000 orang menyokong Pasukan Melli, melaungkan "Iran! Iran!" dan sorakan semakin bergema apabila Ramin Rezaeian menyamakan kedudukan sejurus selepas setengah jam perlawanan berlangsung.

Rezaeian, salah seorang daripada beberapa pemain Iran yang tidak mewakili sebarang kelab bola sepak sejak Februari selepas liga domestik digantung di tengah-tengah serangan udara Amerika Syarikat dan Israel, bertindak paling cepat terhadap rembatan yang disekat dan menendang bola melepasi penjaga gawang New Zealand.

Wood dan Just berganding semula pada awal separuh masa kedua, kapten New Zealand itu melakukan hantaran tepat kepada penyerang berusia 26 tahun itu sebelum Just merembat bola untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Iran membalas 10 minit kemudian dengan gol hebat daripada Mohammad Mohebbi, yang menanduk hantaran lintang Rezaeian untuk menjadikan kedudukan 2-2.

Keputusan seri itu bermakna semua pasukan dalam Kumpulan G memperolehi satu mata selepas Belgium seri 1-1 dengan Mesir awal pagi Isnin.

Sebelum perlawanan bermula, kira-kira 300 hingga 500 penunjuk perasaan berkumpul di luar stadium, mengibarkan papan tanda dan bendera anti-pemerintah Iran.

Sesetengah rakyat Iran-Amerika berkata menghadiri perlawanan itu bermakna solah-olah memberikan sokongan kepada pemerintah Iran, manakala yang lain berkata mereka mahu mengetepikan politik dan menyokong para pemain Iran.

Iran seterusnya akan kembali ke Los Angeles untuk berdepan Belgium pada Ahad dan New Zealand pula menentang Mesir di Vancouver.

Ikuti liputan penuh Piala Dunia FIFA 2026 termasuk keputusan, jadual perlawanan dan sedutan video dalam laman mikro khas kami.
Sumber : Reuters/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita