PIALA DUNIA FIFA 2026: Hadiah wang tunai dijangka ditambah
FIFA sedang berbincang dengan persatuan kebangsaan untuk menambah hadiah dalam bentuk tunai bagi kesemua 48 pasukan yang menyertai Piala Dunia FIFA 2026, menurut badan induk bola sepak dunia itu pada Ahad (26 Apr).
Logo Piala Dunia FIFA 2026 bagi New York/New Jersey diumumkan semasa acara pelancaran di Times Square, New York City, Amerika Syarikat, pada 18 Mei 2023. (Gambar fail: REUTERS/Brendan McDermid)
Cadangan tersebut perlu diluluskan pada mesyuarat Majlis FIFA pada Selasa (28 Apr), yang diadakan menjelang Kongres FIFA ke-76 di Vancouver.
Pada Disember lalu, FIFA menyatakan hadiah dalam bentuk tunai bagi Piala Dunia FIFA tahun ini akan meningkat 50 peratus berbanding edisi sebelumnya kepada AS$655 juta (S$836.28 juta), selepas bersetuju untuk membuat sumbangan kewangan rekod sebanyak AS$727 juta (S$928.21 juta) bagi kejohanan itu.
Namun, FIFA memberitahu Reuters bahawa jumlah wang tunai yang ditawarkan dijangka meningkat lagi, dengan badan itu dijangka melepasi pendapatan AS$11 bilion (S$14.04 bilion) dalam kitaran empat tahun semasa dari 2023 hingga 2026.
“FIFA boleh mengesahkan bahawa ia sedang berbincang dengan persatuan-persatuan di seluruh dunia untuk meningkatkan jumlah hasil yang tersedia,” kata seorang jurucakap FIFA.
“Ini termasuk cadangan peningkatan sumbangan kewangan kepada semua pasukan yang layak ke Piala Dunia FIFA 2026 serta dana pembangunan yang tersedia bagi kesemua 211 persatuan anggota.
“Piala Dunia FIFA 2026 akan menjadi suatu pencapaian besar dari segi sumbangan kewangannya kepada komuniti bola sepak global dan FIFA berbangga berada pada kedudukan kewangan paling kukuh dalam sejarahnya untuk memberi manfaat kepada permainan global melalui program FIFA Forward.”
Bahagian terbesar daripada pakej pembiayaan awal FIFA bagi kejohanan di Amerika Utara itu – AS$655 juta (S$836.28 juta) – diperuntukkan sebagai bayaran berdasarkan prestasi kepada 48 negara yang mengambil bahagian.
Pengumuman FIFA pada Disember lalu berhubung hadiah tunai menyatakan juara akan membawa pulang AS$50 juta (S$63.84 juta) dan naib juara AS$33 juta (S$42.13 juta), manakala 16 negara yang gagal mara dari peringkat kumpulan awal dijangka memperoleh AS$9 juta (S$11.49 juta).
Selain itu, setiap negara yang layak akan menerima AS$1.5 juta (S$1.92 juta) bagi menampung kos persiapan.
Laporan tahunan 2025 FIFA menyatakan 93 peratus daripada jumlah hasil yang dianggarkan sudahpun dikontrakkan menjelang akhir 2025, hasil kejayaan Piala Dunia Kelab 32 pasukan yang pertama kali diadakan di Amerika Syarikat tahun lalu.
Piala Dunia FIFA 2026 akan berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.