Skip to main content

Sukan

PIALA DUNIA FIFA 2026: Ghana menang 1-0 ke atas Panama hasil jaringan saat akhir Yirenkyi

Anggaran Waktu Membaca:
PIALA DUNIA FIFA 2026: Ghana menang 1-0 ke atas Panama hasil jaringan saat akhir Yirenkyi

Antoine Semenyo dari skuad Ghana meraikan kemenangan dengan rakan sepasukan setelah Caleb Yirenkyi menjaringkan gol pertama. (Gambar: REUTERS)

Diterbitkan : 18 Jun 2026 10:59AM Dikemas Kini : 18 Jun 2026 11:13AM

TORONTO: Caleb Yirenkyi menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan untuk memberi Ghana kemenangan 1-0 ke atas Panama dalam perlawanan Piala Dunia yang meriah, di mana pasukan Afrika itu terpaksa bermain separuh masa kedua tanpa penjaga gol utama Lawrence Ati Zigi pada Rabu (17 Jun).

Selepas serangan balas yang sangat pantas, Brandon Thomas-Asante menyerang ke hadapan sebelum menghantar hantaran tepat ke dalam kawasan penalti untuk Yirenkyi, yang menanduk bola masuk bagi gol antarabangsa kompetitif beliau yang pertama.

Ghana, yang bertanding dalam Piala Dunia kelimanya dan ingin memperbaiki pencapaiannya ke suku akhir pada 2010, terpaksa bermain tanpa Thomas Partey selepas pemain tengah itu tidak dibenarkan masuk ke Kanada dan gagal dalam rayuan visa.

Panama, yang disokong oleh kumpulan penyokong berpakaian merah yang riuh, bermain dengan bertenaga, bersungguh-sungguh dan mengancam di bahagian akhir perlawanan sementara Ghana tidak dapat menemui rentak permainan mereka sehingga separuh masa kedua.

Ati Zigi tampil sebagai pemain terbaik Ghana pada separuh masa pertama, menguasai kawasannya dengan mengagumkan sementara rakan sepasukannya tidak dapat membuat satu percubaan pun ke arah gol Panama, tetapi dia tidak keluar beraksi untuk separuh masa kedua selepas perlanggaran berlaku antara pemain.

Cecilio Waterman hampir membantu Panama mendahului pada minit kedua dengan rembatan kali pertama daripada hantaran cemerlang Amir Murillo tetapi disekat oleh Ati Zigi.

Panama menuntut penalti selepas Cristian Martinez jatuh di dalam kotak penalti tetapi dakwaan mereka bahawa terdapat sentuhan dari Jerome Opoku tidak meyakinkan pengadil.

Ati Zigi menerima rawatan berikutan perlanggaran pada penghujung separuh masa pertama dan digantikan oleh Benjamin Asare.

Panama hampir membuka jaringan pada minit ke-60 tetapi Martinez melepaskan percubaannya dari jarak dekat ke jaring sisi dari sudut sempit.

Jonas Adjetey hampir menjaringkan gol untuk Ghana apabila beliau melompat tinggi untuk menyambut hantaran lintang dengan tandukan yang memaksa Orlando Mosquera untuk menghalang bola itu daripada memasuki gawang.

Thomas-Asante membuat hantaran lintang rendah ke dalam kotak penalti untuk Jordan Ayew tetapi pemain pertahanan Panama Jiovany berjaya menendang ke luar tiang sebelum rehat hidrasi kedua malam itu.

Ghana akan menantikan kehadiran Partey untuk perlawanan mereka pada 23 Jun menentang England di Boston manakala Panama akan bertemu Croatia pada hari yang sama di Toronto.

Ikuti liputan penuh Piala Dunia FIFA 2026 termasuk keputusan, jadual perlawanan dan sedutan video dalam laman mikro khas kami.

Sumber : Reuters/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita