Skip to main content

Sukan

PIALA DUNIA FIFA 2026: FIFA sokong pengadil Brazil meski dikecam Trump

Anggaran Waktu Membaca:
PIALA DUNIA FIFA 2026: FIFA sokong pengadil Brazil meski dikecam Trump

Folarin Bolagun dari Amerika dilayangkan kad merah oleh pengadil Raphael Claus. (Gambar: Reuters/Phil Noble)

Diterbitkan : 07 Jul 2026 09:59AM Dikemas Kini : 07 Jul 2026 10:28AM

MIAMI: FIFA memberi sokongan sepenuhnya kepada pengadil dari Brazil, Raphael Claus setelah Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mempersoal integritinya pada Isnin (6 Jul) setelah kad merah dilayangkan terhadap pemain penyerang Amerika Syarikat, Folarin Balogun yang mencetuskan kontroversi di Piala Dunia FIFA 2026.

Balogun dilayangkan kad merah oleh Claus setelah semakan VAR dalam kemenangan perlawanan pusingan 32 pasukan terakhir ke atas Bosnia dan Herzegovina, kerana memijak buku lali Tarik Muharemovic.

Namun, FIFA kemudian menangguhkan hukuman kad merah terhadap Balogun.

Encik Trump berkata beliau memohon supaya keputusan itu disemak, sambil menyifatkan Claus sebagai "agak mencurigakan jika anda memeriksa latar belakangnya" tanpa memberi perincian lanjut.

"FIFA mengiktiraf Raphael Claus sebagai salah seorang pengadil profesional terbaik di dunia dan seorang ahli yang dihargai dalam Team One Piala Dunia FIFA," menurut FIFA dalam satu kenyataan.

"Sepanjang kerjayanya, beliau sentiasa mempamerkan tahap profesionalisme dan integriti yang tinggi."

FIFA turut mendedahkan bahawa Claus tidak boleh memberikan komen, sejajar dengan dasarnya di mana para pengadil tidak boleh ditemu bual oleh pihak media semasa perlawanan berlangsung.

Presiden FIFA Gianni Infantino berkata setiap pengadil harus dihormati.

"Sekali lagi, saya mengulangi bahawa kita harus menghormati para pengadil dan menghormati peraturan yang mentadbir sukan kita," katanya.

"Ia sangat mudah dan tidak boleh ditegaskan lagi - tanpa para pengadil, tiada bola sepak."

Claus mengadili lebih 600 perlawanan sepanjang kerjayanya dan Pierluigi Collina, iaitu Ketua Pegawai Pengadil FIFA dan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil, menegaskan kepercayaan pertubuhan tersebut terhadap pengadil berusia 46 tahun itu.

"Raphael Claus mengadili perlawanan di Piala Dunia FIFA yang kedua setelah bersama kami di Qatar pada 2022," kata Collina.

"Beliau seorang pengadil yang berpengalaman dan sangat dihormati dan kami mempunyai keyakinan sepenuhnya terhadap beliau sebagai seorang pegawai perlawanan yang diyakini."

Balogun akhirnya dibenarkan untuk memulakan perlawanan pusingan 16 pasukan terakhir menentang Belgium dan dinamakan sebagai antara pemain dalam kesebelasan utama jurulatih Mauricio Pochettino.

Ikuti liputan penuh Piala Dunia FIFA 2026 termasuk keputusan, jadual perlawanan dan sedutan video dalam laman mikro khas kami.

Sumber : Reuters/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita