PIALA DUNIA FIFA 2026: FIFA raih hasil jauh lebih tinggi daripada jangkaan, menurut laporan
FIFA dilaporkan menjangkakan pemerolehan hasil tertinggi dalam sejarah sebanyak AS$15 bilion (S$19.37 bilion) daripada Piala Dunia FIFA 2026 yang melabuhkan tirainya pada Ahad (19 Jul), jauh melebihi jangkaan asal, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) yang memetik akhbar The Guardian.
FIFA menjangkakan pemerolehan hasil tertinggi dalam sejarah daripada Piala Dunia FIFA 2026. (Gambar: AP)
The Guardian melaporkan bahawa badan induk bola sepak dunia itu pada asalnya menjangkakan hasil sebanyak AS$11 bilion (S$14.2 bilion) daripada kejohanan yang berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.
Presiden FIFA Gianni Infantino dilaporkan memaklumkan keputusan itu kepada persatuan bola sepak yang menjadi anggota FIFA pada Sabtu.
Menurut The Guardian, peningkatan ketara itu didorong terutamanya oleh pendapatan daripada sektor hospitaliti dan jualan tiket. FIFA tidak mengawal selia harga di pasaran rasmi jualan semula tiket serta mengutip yuran sebanyak 15 peratus bagi setiap tiket daripada kedua-dua penjual dan pembeli.
Sebagai perbandingan, ketika Piala Dunia FIFA 2022 berlangsung di Qatar, FIFA memperolehi hasil sebanyak AS$5.77 bilion (S$7.45 bilion). Kejohanan itu disertai 32 pasukan dan membabitkan 64 perlawanan, berbanding 48 pasukan serta 104 perlawanan pada edisi kali ini.
Ikuti liputan penuh Piala Dunia FIFA 2026 termasuk keputusan, jadual perlawanan dan sedutan video dalam laman mikro khas kami.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.