Skip to main content

Sukan

PIALA DUNIA FIFA 2026: FIFA, Presiden FA Iran adakan perbincangan positif jelang Piala Dunia 2026

Setiausaha Agung FIFA Mattias Grafstorm mengadakan mesyuarat membina dan positif bersama Presiden FA Iran (FFIRI) Mehdi Taj pada Sabtu (16 Mei), katanya kepada Reuters, sambil meluahkan keyakinan terhadap penyertaan negara itu dalam Piala Dunia tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:
PIALA DUNIA FIFA 2026: FIFA, Presiden FA Iran adakan perbincangan positif jelang Piala Dunia 2026

Presiden FA Iran Mehdi Taj bertemu dengan Setiausaha Agung FIFA Mattias Grafstrom di Istanbul, Turki pada 16 Mei 2026. (Gambar: Reuters/Murad Sezer)

ISTANBUL: Setiausaha Agung FIFA Mattias Grafstorm mengadakan mesyuarat membina dan positif bersama Presiden FA Iran (FFIRI) Mehdi Taj pada Sabtu (16 Mei), katanya kepada Reuters, sambil meluahkan keyakinan terhadap penyertaan negara itu dalam Piala Dunia tahun ini.

Iran dijadual beraksi dalam ketiga-tiga perlawanan kumpulan mereka di Amerika Syarikat namun penyertaan pasukan itu dalam temasya sukan yang akan diadakan pada 11 Jun hingga 19 Julai itu menimbulkan tanda tanya sejak Amerika Syarikat dan Israel menyerang Iran pada lewat Februari.

"Kami mengadakan pertemuan hebat dan mesyuarat membina bersama dengan FA Iran," kata Encik Grafstrom semasa lawatan ke Istanbul.

"Kami sedang bekerjasama rapat dan mengalu-alukan kehadiran mereka dalam Piala Dunia FIFA."

Lebih banyak persoalan timbul setelah Encik Taj tidak dibenarkan masuk ke Kanada untuk menghadiri Kongres FIFA di Vancouver pada awal bulan ini kerana kaitannya dengan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC).

Amerika Syarikat dan Kanada, yang merupakan tuan rumah bersama Piala Dunia dengan Mexico, menggolongkan IRGC sebagai sebuah "entiti pengganas" dan jelas menyatakan ia tidak akan membenarkan masuk individu dengan kaitan kepada kumpulan tentera elit itu.

Encik Grafstrom enggan mendedahkan lebih lanjut mengenai situasi visa bagi para pemain Iran, namun berkata kedua-dua pihak berpeluang membincang beberapa hal operasi dan mengadakan perbincangan yang positif.

Encik Taj memberitahu Reuters bahawa FFIRI mempunyai perbincangan yang baik dengan Encik Grafstrom dan pegawai FIFA yang lain.

"Saya berbesar hati kerana mereka mendengar semua hujahan Iran, kesemua 10 perkara yang dibangkitkan, dan mereka menawarkan huraian bagi setiap satu daripadanya.

"Saya berharap, pasukan kebangsaan kami dapat beraksi dalam Piala Dunia tanpa sebarang masalah dan mencapai keputusan sangat baik di sana," katanya.

Apabila ditanya jika FIFA mendapatkan jaminan berhubung aturan kemasukan dan visa bagi para pemain Iran, Encik Grafstrom enggan mengulas lanjut.

"Kami sudah membincangkan semua perkara yang relevan, tetapi saya fikir ia bukan tempatnya untuk membincangkan tentang butirannya," katanya.

"Secara keseluruhan, satu pertemuan yang sangat positif dan kami mengalu-alukan untuk meneruskan dengan dialog ini."

Iran sebelum ini memohon supaya lokasi perlawanan Piala Dunia mereka ditukar ke Mexico tetapi presiden FIFA Gianni Infantino menegaskan semua perlawanan mesti dimainkan di lokasi yang dijadualkan sebelum ini.
Sumber : Reuters/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita