PIALA DUNIA FIFA 2026: FIFA haramkan botol guna semula di stadium atas sebab keselamatan
Salah satu pintu masuk ke Stadium Gillette, yang secara rasmi dikenali sebagai Stadium Boston semasa Piala Dunia FIFA 2026, menjelang kejohanan itu di Foxborough, Massachusetts, Amerika Syarikat, pada 3 Jun 2026. (Gambar: REUTERS/Brian Snyder)
Ini menyusuli perubahan saat akhir pada Kod Tatalaku Stadiumnya.
Badan induk bola sepak itu, yang sebelum ini membenarkan botol plastik yang boleh digunakan semula yang lutsinar (transparent) dan kosong dibawa masuk ke stadium, menyatakan kod yang dikemas kini - berkuat kuasa sejak Selasa - kini melarangnya.
Barangan lain seperti botol, cawan, balang dan tin juga dilarang bagi mengelakkan risiko kecederaan jika dibaling.
“FIFA komited untuk melindungi kesihatan dan keselamatan semua pemain, pengadil, penyokong, sukarelawan dan kakitangan,” katanya kepada Reuters dalam kenyataannya.
“FIFA membuat keputusan untuk melarang botol bagi mengelakkan risiko dan kecederaan kepada pemain serta hadirin.”
“Botol dari luar sememangnya telah dilarang di beberapa lokasi ini atas pertimbangan keselamatan dan FIFA kini melaksanakan langkah yang sama di semua stadium kejohanan.”
Langkah itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penyokong mengenai cara menghadapi cuaca panas, dengan suhu di beberapa lokasi dijangka antara 26 hingga 28 darjah Celsius, selain isu akses kepada air minuman di dalam stadium.
FIFA menyatakan langkah-langkah akan disediakan untuk menangani keadaan tersebut.
“FIFA bekerjasama dengan setiap Jawatankuasa Bandar Tuan Rumah dan pihak berkuasa tempatan mengenai langkah mengurangkan kesan haba terhadap penyokong yang menuju ke stadium.
"Ini boleh merangkumi kemudahan seperti stesen semburan kabus, kipas, stesen hidrasi, khemah penyejukan dan lain-lain di sekitar kawasan stadium,” menurut kenyataan itu.
“Di dalam kawasan stadium, harga botol air untuk Piala Dunia FIFA 2026 akan kekal selaras dengan harga yang dikenakan semasa acara lain yang diadakan di setiap stadium.”
Piala Dunia yang melibatkan 48 pasukan dan dianjurkan bersama oleh Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico akan berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai.
Kejohanan itu akan menampilkan 104 perlawanan, meningkat daripada 64 sebelum ini, termasuk satu pusingan kalah mati tambahan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.