Skip to main content

Sukan

PIALA DUNIA FIFA 2026: FIFA benarkan Balogun beraksi semula hasil campur tangan Trump

Pemain penyerang Amerika Syarikat Folarin Balogun dibenarkan beraksi dalam perlawanan pusingan 16 terakhir Piala Dunia FIFA 2026 menentang Belgium selepas FIFA menangguhkan penggantungannya setelah beliau dilayangkan kad merah pada Ahad (5 Jul), dalam satu langkah luar biasa selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menghubungi Presiden FIFA Gianni Infantino.

Anggaran Waktu Membaca:
PIALA DUNIA FIFA 2026: FIFA benarkan Balogun beraksi semula hasil campur tangan Trump

Pemain Amerika, Folarin Balogun semasa menjalani latihan pada 5 Jul 2026. (Imagen Images via REUTERS)

Diterbitkan : 06 Jul 2026 08:55AM Dikemas Kini : 06 Jul 2026 10:21AM
MIAMI: Pemain penyerang Amerika Syarikat Folarin Balogun dibenarkan beraksi dalam perlawanan pusingan 16 terakhir Piala Dunia FIFA 2026 menentang Belgium selepas FIFA menangguhkan penggantungannya setelah beliau dilayangkan kad merah pada Ahad (5 Jul), dalam satu langkah luar biasa selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menghubungi Presiden FIFA Gianni Infantino.

Balogun menjaringkan gol ketiganya di Piala Dunia FIFA ketika membantu Amerika Syarikat mengalahkan Bosnia 2-0, namun dilayangkan kad merah pada babak kedua selepas mengasari Tarik Muharemovic di bahagian buku lalinya.

Pemain berusia 25 tahun itu diarahkan keluar padang hasil semakan Penolong Pengadil Video (VAR), dengan jurulatih Amerika Syarikat Mauricio Pochettino berkata kejadian itu tidak sepatutnya membawa kepada kad merah.

Encik Trump menghubungi Encik Infantino untuk meminta badan induk bola sepak dunia itu menyemak semula keputusan melayangkan kad merah tersebut, menurut satu sumber yang dimaklumkan mengenai perkara itu.

FIFA membenarkan Balogun untuk beraksi tanpa membatalkan kad merah yang diterimanya.

"Selaras dengan Artikel 27 Kod Tatatertib FIFA, pelaksanaan penggantungan perlawanan itu ditangguhkan bagi tempoh percubaan selama setahun," menurut FIFA dalam satu kenyataan.

"Sekiranya Folarin Balogun melakukan satu lagi kesalahan yang serupa dari segi sifat dan tahap keseriusannya dalam tempoh percubaan itu, penangguhan tersebut akan dibatalkan dan hukuman akan dikuatkuasakan tanpa menjejaskan sebarang hukuman tambahan bagi kesalahan baharu itu."

Badan kehakiman FIFA mempunyai budi bicara untuk menggantung sepenuhnya atau sebahagian daripada pelaksanaan sesuatu hukuman tatatertib.

Reuters sudah menghubungi FIFA bagi mendapatkan ulasan mengenai panggilan Encik Trump kepada Encik Infantino.

"SATU KETIDAKADILAN BESAR"

"Terima kasih kepada FIFA kerana melakukan perkara yang betul dan membetulkan satu ketidakadilan besar," tulis Encik Trump di Truth Social, manakala Rumah Putih meraikan keputusan yang membenarkan Balogun kembali bersama skuad Amerika Syarikat menerusi satu catatan di X yang berbunyi: "USA-USA-USA."

Persekutuan Bola Sepak Amerika Syarikat menerima keputusan itu, manakala rakan-rakan sepasukan Balogun berkata mereka hanya mengetahui tentang perkara tersebut menerusi media sosial ketika dalam perjalanan ke sesi latihan menjelang perlawanan pada Isnin di Seattle.

"Kami baru tahu mengenainya semasa dalam perjalanan ke sini," kata penyerang Amerika Syarikat Christian Pulisic kepada para wartawan.

"Pada mulanya kami fikir, 'Betulkah ini?' Kemudian, 'Ini berita yang sangat baik'."

BELGIUM "TERKEJUT" DENGAN KEPUTUSAN FIFA

Persekutuan Bola Sepak Diraja Belgium (RBFA) berkata pihaknya "terkejut" dengan keputusan FIFA yang mengisytiharkan Balogun layak beraksi dalam perlawanan itu, sambil merujuk kepada peraturan pertandingan sambil meneliti semua pilihan yang ada.

"FIFA mendasarkan keputusannya kepada Artikel 27 Kod Tatatertib FIFA. Peruntukan itu menyatakan bahawa Jawatankuasa Tatatertib FIFA boleh memutuskan untuk menggantung pelaksanaan sesuatu hukuman tatatertib yang telah dikenakan sebelum ini," menurut RBFA.

"Namun, Artikel 66.4 dalam Kod Tatatertib FIFA yang sama dengan jelas memperuntukkan bahawa kad merah secara automatik membawa kepada penggantungan bagi perlawanan pasukan yang berikutnya, sebagaimana yang dikenakan bagi semua kad merah sepanjang Piala Dunia FIFA ini."

RBFA menegaskan keputusan itu bercanggah secara langsung dengan peraturan pertandingan.

"Seperti yang dinyatakan dalam Artikel 10.5: 'Jika seseorang pemain atau pegawai pasukan dibuang padang akibat kad merah secara langsung atau tidak langsung (kad kuning kedua), mereka akan digantung secara automatik daripada perlawanan pasukan yang berikutnya'," tambah RBFA.

Kapten Portugal Cristiano Ronaldo dibenarkan beraksi dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia FIFA pasukannya selepas FIFA menangguhkan dua perlawanan terakhir daripada penggantungan tiga perlawanannya yang dikenakan tahun lalu apabila beliau dibuang padang dalam perlawanan kelayakan kedua terakhir menentang Ireland.

Pemain tengah Qatar, Assim Madibo, pula digantung lima perlawanan selepas menerima kad merah menyusuli aksi gelecek yang menyebabkan pemain tengah Canada, Ismael Kone, mengalami kecederaan serius dalam satu perlawanan peringkat kumpulan kejohanan itu.

Pada 1962, legenda Brazil Garrincha dibuang padang pada peringkat separuh akhir, namun dibenarkan beraksi dalam perlawanan akhir selepas rayuannya yang disokong penyokong Chile dan Presiden Jorge Alessandri diterima, sekali gus membantu Brazil mengalahkan Czechoslovakia 3-1.

Ikuti liputan penuh Piala Dunia FIFA 2026 termasuk keputusan, jadual perlawanan dan sedutan video dalam laman mikro khas kami.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita