PIALA DUNIA FIFA 2026: England mara ke peringkat suku akhir selepas kalahkan Mexico 3-2
England yang beraksi dengan 10 pemain mara ke peringkat suku akhir selepas mengalahkan Mexico 3-2 dalam perlawanan pusingan 16 terakhir yang mendebarkan pada Ahad (5 Jul).
Jude Bellingham meraikan jaringan gol kedua England ketika menentang Mexico pada 5 Julai 2026. (Gambar: REUTERS/Paul Childs)
Awal dari itu, perlawanan di Stadium Azteca tersebut ditangguhkan selama sejam disebabkan oleh cuaca buruk di Mexico City.
England mendahului 2-1 pada separuh masa pertama hasil dua jaringan gol oleh Jude Bellingham, dengan Mexico merapatkan jurang menerusi jaringan Julián Quiñones menjelang akhir babak pertama perlawanan.
England kemudian terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada awal babak kedua selepas Jarell Quansah dilayangkan kad merah menyusuli serangannya ke atas Jesús Gallardo pada minit ke-54.
England menambah jaringan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Harry Kane pada minit ke-60, namun Mexico turut dihadiahkan sepakan penalti selepas Kane didapati melakukan kekasaran.
Raul Jimenez menyempurnakan sepakan itu untuk merapatkan kedudukan kepada 3-2.
England bagaimanapun berjaya menahan asakan Mexico yang memburu gol penyamaan sehingga tamat waktu perlawanan.
England akan menentang Norway pada suku akhir selepas Erling Haaland membantu negaranya mengalahkan juara lima kali, Brazil.
Perlawanan peringkat suku akhir itu akan berlangsung di Miami pada 11 Julai.
Ikuti liputan penuh Piala Dunia FIFA 2026 termasuk keputusan, jadual perlawanan dan sedutan video dalam laman mikro khas kami.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.