PIALA DUNIA FIFA 2026: England dapat semula peralatan latihan yang dicuri 5 hari sebelum aksi pembukaan
England berjaya mendapatkan semula beberapa peralatan latihan yang dicuri daripada sebuah kenderaan pasukan tersebut di Kansas City, Missouri.
Kapten England Harry Kane (tengah) berlari anak bersama rakan sepasukannya, termasuk Jordan Henderson (dua dari kiri), semasa sesi latihan pasukan England di Palm Beach Gardens, Florida, pada 9 Jun 2026 menjelang kejohanan Piala Dunia FIFA 2026. (Gambar: AP/Rebecca Blackwell)
Sumber yang mengetahui tentang situasi pasukan tersebut, yang enggan dikenal pasti kerana tidak diberi kuasa untuk bercakap secara terbuka mengenai perkara itu, mengesahkan bahawa barangan yang hilang - kebanyakannya kasut - sudah ditemui semula menjelang perlawanan pembukaan Piala Dunia FIFA 2026 menentang Croatia pada Rabu (17 Jun).
Kecurian itu berlaku ketika pasukan logistik Persatuan Bola Sepak England (FA) sedang membuat persiapan di pangkalan baharu mereka di Swope Soccer Village, Kansas City, sempena kejohanan tersebut. Barangan itu dicuri daripada sebuah van yang masih belum dipunggah.
Polis Kansas City mengesahkan pihaknya sedang "menyiasat kemungkinan berlakunya kecurian peralatan" dan memaklumkan bahawa dua suspek sudah ditahan.
"Siasatan masih dijalankan," menurut polis dalam satu kenyataan kepada The Athletic.
Pasukan kendalian Thomas Tuchel menghabiskan 10 hari di Florida di sebuah kem latihan menjelang kejohanan tersebut, di mana mereka menentang New Zealand dan Costa Rica, mencatatkan kemenangan ke atas kedua-dua pasukan tanpa membenarkan sebarang gol.
Selepas kemenangan 3-0 ke atas Costa Rica, mereka turut mengadakan perlawanan persahabatan tertutup menentang kelab divisyen kedua Amerika Syarikat, Miami FC, pada Khamis, yang dimenangi pasukan tersebut 6-0.
Skuad itu kemudian berehat selama sehari sebelum berlepas ke Kansas City pada Sabtu.
Argentina dan Belanda turut menjadikan Kansas City sebagai pangkalan mereka sepanjang kejohanan tersebut.
Juara bertahan Piala Dunia FIFA itu akan menggunakan kemudahan latihan utama Sporting KC, manakala Belanda akan berlatih di pusat latihan milik pasukan NWSL, Kansas City Current.
England akan memulakan kempen Piala Dunia FIFA 2026 mereka pada Rabu menentang Croatia di Stadium Dallas.
Selepas itu, mereka akan menentang Ghana di Stadium Gillette, Foxborough pada 23 Jun sebelum menamatkan saingan peringkat kumpulan menentang Panama di New York-New Jersey pada 27 Jun.
Ikuti liputan penuh Piala Dunia FIFA 2026 termasuk keputusan, jadual perlawanan dan sedutan video dalam laman mikro khas kami.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.