PIALA DUNIA FIFA 2026: Cunha jaring dua gol untuk bantu Brazil menang 3-0, singkir Haiti di Piala Dunia
Mattheus Cunha jaring gol kedua. (Gambar: Reuters)
PHILADELPHIA: Penyerang Brazil, Matheus Cunha, membanggakan pengurus Carlo Ancelotti dengan dua gol pertamanya di Piala Dunia apabila juara lima kali itu meraih kemenangan 3-0 ke atas Haiti pada Jumaat (19 Jun) untuk menyingkirkan lawan mereka.
Vinicius Junior juga menjaringkan gol pada separuh masa pertama dan memainkan peranan penting membantu Cunha menjaringkan dua gol.
Pemain sayap Raphinha pula terpaksa keluar padang pada minit ke-40 selepas cedera di kaki.
Secara keseluruhan, Brazil mempamerkan prestasi yang jauh lebih baik berbanding keputusan seri 1-1 semasa menentang Maghribi dalam perlawanan pembukaan mereka. Kemenangan ini meletakkan Brazil di tangga teratas dengan empat mata, mengatasi Maghribi dalam Kumpulan C berdasarkan perbezaan gol.
Dengan itu, Haiti menjadi pasukan pertama yang tersingkir daripada Piala Dunia selepas kemenangan 1-0 Maghribi ke atas Scotland, yang sudah pun mengumpul tiga mata, pada awal Jumaat. Haiti berada di tangga terbawah tanpa mengutip sebarang mata.
Walau bagaimanapun, mereka jelas menikmati penampilan kedua mereka di kejohanan itu — yang pertama sejak 1974. Meskipun barisan pemain mereka menunjukkan corak permainan bertahan, mereka tetap mempamerkan usaha yang mengagumkan di hadapan sebilangan kecil penyokong yang memakai baju merah dan biru serta memberi sorakan padu.
Bek tengah Ricardo Ade hampir menjaringkan gol pada babak kedua apabila tandukannya dari sepakan penjuru memaksa penjaga gawang Brazil, Alisson bergerak pantas untuk menyelamatkan keadaan.
Cunha merupakan salah satu daripada dua perubahan yang dilakukan Ancelotti, dengan Cunha menggantikan Igor Thiago sebagai penyerang tengah. Dengan penglibatan pemain Manchester United itu, serangan Brazil kelihatan jauh lebih tersusun berbanding enam hari sebelumnya, walaupun menentang lawan yang lebih lemah.
Akhirnya, mereka menundukkan pasukan Haiti yang bersemangat meskipun Haiti bermain cemerlang dalam 15 minit pertama perlawanan.
Untuk gol pertama Brazil selepas 23 minit, Vinicius memotong ke dalam dari kiri dan melakukan rembatan yang hanya dapat ditepis oleh penjaga gol Johny Placide.
Bek tengah Hannes Delcroix cuba mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya, tetapi Cunha terus memberi tekanan dan akhirnya menendang bola melepasi garisan untuk gol keduanya dalam perlawanan antarabangsa yang kompetitif.
Gandingan itu kembali terserlah pada minit ke-36 selepas pemain Haiti gagal mengawal bola.
Vinicius menghantar bola ke laluan Cunha tepat pada masanya dan, walaupun kelihatan tersandung, pemain penyerang itu menyempurnakan rembatan ke penjuru atas gawang sedang Placide bergerak ke arah yang salah.
Belum jelas apa yang menyebabkan Raphinha jatuh berlutut beberapa saat selepas gol kedua. Dalam perlawanan itu, satu gol awalnya dibatalkan kerana dikatakan 'offside', dan satu lagi peluang terbaiknya juga tidak menjadi kerana bendera 'offside' dinaikkan.
Gol jaringan Vinicius pula hadir pada masa kecederaan sebelum rehat apabila dia mengejar hantaran lambung Lucas Paqueta dan menyempurnakan peluang dengan rembatan rendah melepasi Placide yang meluru keluar.
Ikuti liputan penuh Piala Dunia FIFA 2026 termasuk keputusan, jadual perlawanan dan sedutan video dalam laman mikro khas kami.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.