Skip to main content

Sukan

PIALA DUNIA FIFA 2026: Belgium bangkit daripada ketinggalan, singkir Senegal selepas masa tambahan

Youri Tielemans menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-125, membantu Belgium bangkit semula daripada ketinggalan dua gol untuk mengalahkan Senegal 3-2 selepas masa tambahan dalam perlawanan pusingan 32 terakhir Piala Dunia FIFA 2026 di Seattle pada Rabu (1 Jul), sekali gus menghidupkan semula harapan mereka untuk muncul sebagai juara yang sebelum itu dilihat hampir terpadam.

Anggaran Waktu Membaca:
PIALA DUNIA FIFA 2026: Belgium bangkit daripada ketinggalan, singkir Senegal selepas masa tambahan

Youri Tielemans dari Belgium meraikan gol ketiga pasukannya bersama rakan sepasukan Nicolas Raskin dalam perlawanan pusingan 32 terakhir Piala Dunia FIFA menentang Senegal di Stadium Seattle, Washington, pada 1 Julai 2026. (Gambar: REUTERS)

Diterbitkan : 02 Jul 2026 09:04AM
SEATTLE: Youri Tielemans menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-125, membantu Belgium bangkit semula daripada ketinggalan dua gol untuk mengalahkan Senegal 3-2 selepas masa tambahan dalam perlawanan pusingan 32 terakhir Piala Dunia FIFA 2026 di Seattle pada Rabu (1 Jul), sekali gus menghidupkan semula harapan mereka untuk muncul sebagai juara yang sebelum itu dilihat hampir terpadam.

Lamine Camara dari Senegal menjatuhkan Tielemans ketika bola melepasi bahagian hadapan gawang. Berikutan kejadian tersebut, pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada Belgium selepas semakan sistem bantuan video pengadil (VAR). Tielemans kemudian tenang menyempurnakan sepakan itu ke penjuru atas gawang untuk melengkapkan kebangkitan luar biasa pasukannya.

Habib Diarra dan Ismaila Sarr sebelum itu meletakkan Senegal di hadapan 2-0, dan kumpulan itu dilihat berada di landasan yang baik untuk mara ke pusingan seterusnya sebelum Belgium menjaringkan dua gol dalam tempoh empat minit terakhir menerusi Romelu Lukaku dan tandukan Tielemans untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Belgium kini akan menentang pemenang perlawanan pusingan 32 terakhir antara tuan rumah bersama Amerika Syarikat dan Bosnia dan Herzegovina di Seattle pada Isnin.

Lukaku pada awalnya dijangka mengambil sepakan penalti yang dihadiahkan, namun pada saat akhir menyerahkan bola kepada kapten pasukannya, Tielemans.

"Kami berbincang seketika. Romelu berkata, 'ambil sahaja'. Saya pun bersedia untuk menyepaknya," kata Tielemans kepada Sporza.

"Saya amat bangga menjadi kapten pasukan ini. Kami semua mahu menang dan sentiasa memberikan yang terbaik. Sama ada kami akan menganalisis perlawanan ini esok? Saya harap lusa. Esok kami berehat dahulu!"

Pemain tengah itu percaya pemain simpananlah yang menjadi pencetus kebangkitan Belgium.

"Kami ketinggalan dan kami perlu menunjukkan reaksi. Kami berjaya melakukannya," kata beliau.

"Pemain simpanan sekali lagi menjadi pembeza, terutamanya bagi gol pertama. Semua pemain memberikan segala-galanya dan ada kalanya ia menjadi, ada kalanya tidak."

Kekalahan itu amat memeritkan buat Senegal yang menguasai sebahagian besar tempoh 90 minit permainan, dengan dua percubaan terkena tiang gol, namun gagal mempertahankan kelebihan mereka hingga tamat perlawanan.

Apabila mereka membuka tirai jaringan pada minit ke-25, ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Hantaran lintang Sadio Mane ditanduk ke arah gawang oleh Sarr, namun percubaannya sekali lagi terkena tiang.

Kali ini bola jatuh tepat kepada Diarra yang menyudahkannya dengan mudah dari jarak kira-kira enam meter.

LUKAKU DIBAWA MASUK PADA BABAK KEDUA

Belgium memasukkan Lukaku menggantikan Charles De Ketelaere yang kurang menyerlah pada permulaan babak kedua, namun tidak lama kemudian mereka ketinggalan 2-0.

Hantaran jauh Moussa Niakhate berjaya dikawal dengan cemerlang menggunakan dada oleh Sarr sebelum dia melepasi dua pemain pertahanan dan melepaskan rembatan deras ke arah gol pada minit ke-51.

Belgium bergelut untuk mencipta peluang yang benar-benar menyegat sehingga lima minit terakhir perlawanan, sebelum mengubah haluan permainan secara tiba-tiba.

Lukaku terlebih dahulu menolak masuk bola berhampiran tiang hasil hantaran rendah Thomas Meunier, sebelum hantaran jauh Leandro Trossard ke dalam kotak penalti ditanduk masuk oleh Tielemans.

Kedua-dua pemain itu sebelum ini terlibat dalam pertikaman lidah, namun mereka saling berpelukan dan tersenyum selepas gol penyamaan dijaringkan, sebelum Tielemans sekali lagi menyerlah menerusi gol kemenangan yang dimasukkannya.

"Saya percaya pasukan kami memang layak untuk menang," kata jurulatih Senegal Pape Thiaw. "Malangnya kami tersingkir. Saya amat sedih, begitu juga dengan para pemain. Mereka memang layak menang, tetapi nasib tidak menyebelahi kami hari ini."
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita