Skip to main content

Sukan

PIALA DUNIA FIFA 2026: Argentina bangkit untuk menang tipis 3-2 ke atas Mesir

Anggaran Waktu Membaca:
PIALA DUNIA FIFA 2026: Argentina bangkit untuk menang tipis 3-2 ke atas Mesir

Lionel Messi terlebih dahulu gagal menyempurnakan sepakan penalti sebelum menjaringkan gol penyamaan pada penghujung perlawanan menentang Mesir. (Gambar: IMAGN IMAGES melalui Reuters/Nathan Ray Seebeck)

Diterbitkan : 08 Jul 2026 06:54AM
ATLANTA: Lionel Messi tidak dapat menahan sebak sebaik wisel penamat ditiup sedang kapten pasukan Argentina itu dipujuk rakan-rakan sepasukan selepas menyedari betapa hampir impiannya untuk terus beraksi di Piala Dunia FIFA 2026 berakhir pada Selasa (7 Julai).

Dalam perlawanan itu, beliau terlebih dahulu gagal menyempurnakan sepakan penalti sebelum menjaringkan gol penyamaan pada penghujung perlawanan.

Argentina ketinggalan dua gol kepada Mesir dengan hanya berbaki lebih 10 minit dalam aksi pusingan 16 pasukan terakhir sebelum bangkit untuk menyamakan kedudukan.

Suasana itu jauh berbeza berbanding sebelum perlawanan bermula apabila Messi kelihatan cukup tenang. Beliau sempat menguntumkan senyuman kepada kamera ketika menunggu di terowong pemain, malah mengenyit mata kepada kanak-kanak pengiring.

Namun, sentuhan pertamanya adalah hantaran yang tersasar, dan apabila Mesir membuka tirai jaringan, Argentina buat pertama kali ketinggalan dalam Piala Dunia kali ini.

Juara bertahan itu memperoleh peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan enam minit selepas dibolosi gawangnya, tetapi Messi melakukan sepakan penalti yang terlalu mudah ditepis oleh penjaga gawang Mesir, sekali gus menjadi pemain pertama yang gagal menyempurnakan dua sepakan penalti dalam satu edisi Piala Dunia, tidak termasuk penentuan sepakan penalti.

Messi sebelum ini turut gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika menentang Austria pada peringkat kumpulan, sekali gus terlepas peluang memecahkan rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman Piala Dunia FIFA milik Miroslav Klose. Namun, beliau kemudian menyumbatkan dua gol dalam kemenangan 2-0 itu selepas menjaringkan hatrik ketika menentang Algeria dalam perlawanan pembukaan.

Pemain berusia 39 tahun itu kini telah mengatasi rekod Klose yang berjumlah 16 gol. Jaringan menentang Mesir pula merupakan golnya dalam sembilan perlawanan Piala Dunia berturut-turut dan gol ke-21 keseluruhan bagi kejohanan itu, sekali gus menyamakan kedudukan 2-2 buat Argentina.

Messi meraikan gol itu dengan penuh emosi, melompat sambil mengepal penumbuk ketika momentum jelas memihak kepada Argentina.

"Leo (Messi) terus membuktikan mengapa dia seorang legenda, dan kami sungguh gembira dapat berada bersamanya," kata penyerang Argentina Julian Alvarez.

"Saya bukan seorang yang mudah beremosi, tetapi hari ini saya benar-benar merasakannya."

Argentina sebelum ini terpaksa bekerja keras oleh Cape Verde pada pusingan terdahulu apabila memerlukan gol sendiri pada masa tambahan untuk menang selepas dua kali diikat lawan.

Namun, Mesir memberikan tentangan yang lebih sengit dan hampir menamatkan perjalanan juara bertahan itu. Pengalaman getir itu mungkin menjadi pengajaran berguna buat Messi dan rakan-rakan sepasukan menjelang aksi suku akhir menentang Switzerland atau Colombia kelak.

Ikuti liputan penuh Piala Dunia FIFA 2026 termasuk keputusan, jadual perlawanan dan sedutan video dalam laman mikro khas kami.
Sumber : Reuters/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita