PIALA DUNIA FIFA 2026: Amerika mara ke pusingan 32 terakhir selepas tundukkan Australia 2-0
Alex Freeman dari Amerika Syarikat meraikan gol bersama Cristian Roldan (kiri) dan Alex Zendejas (kanan) selepas menjaringkan gol kedua pasukannya menentang Australia dalam perlawanan Kumpulan D Piala Dunia 2026 di Stadium Seattle di Seattle pada 19 Jun 2026. (Gambar: Reuters)
Seperti kemenangan 4-1 ke atas Paraguay, Amerika membuka tirai jaringan dengan memaksa pasukan lawan menjaringkan gol sendiri, hasil kesilapan pemain pertahanan Australia, Cameron Burgess.
Freeman kemudian menanduk masuk gol paling mudah sebelum waktu rehat. Gol itu pada mulanya dibatalkan kerana dikatakan 'offside' tetapi disahkan setelah disemak, sekali gus mendorong para pemain simpanan Amerika membanjiri padang bagi meraikannya.
"Ia luar biasa ... jelas pada mulanya ia dibatalkan jadi saya agak cemas apabila ia beralih kepada VAR," kata Freeman.
"Ia penuh emosi bagi saya kerana inilah saat yang diimpi-impikan."
Jurulatih Australia, Tony Popovic, telah menggugurkan kedua-dua penjaring gol, Nestory Irankunda dan Connor Metcalfe, daripada kesebelasan utama selepas kemenangan 2-0 ke atas Turki, tetapi membawa mereka masuk pada separuh masa kedua untuk cuba mengubah keadaan.
Permainan Australia bertambah baik tetapi kelihatan terus lesu dan gagal bangkit semula dalam separuh masa kedua yang semakin tegang dan kurang berkualiti.
"Saya tidak tahu sama ada suasana perlawanan mempengaruhi kami, tetapi kami kelihatan lesu, tidak bertenaga," kata Popovic.
"Saya rasa prestasi para pemain cukup baik dalam separuh masa kedua, tetapi pada tahap ini, prestasi lemah pada separuh pertama memberi kelebihan besar kepada lawan."
Dengan kemenangan itu, Amerika berjaya meraih enam mata dan mara ke peringkat 32 terakhir sebelum perlawanan terakhir mereka menentang Turki di Los Angeles, Khamis depan. Jurulatih Mauricio Pochettino berharap Pulisic boleh bermain ketika itu.
"Tetapi jika kami mahu memenangi pertandingan ini, kami memerlukan kerjasama seluruh pasukan. Dan penting bagi semua pemain memainkan peranan," katanya.
Amerika akan mendahului Kumpulan D jika Turki tidak menewaskan Paraguay dalam perlawanan mereka pada Jumaat. Australia kekal di tempat kedua dengan tiga mata dan seterusnya akan menentang Paraguay di San Francisco.
Ikuti liputan penuh Piala Dunia FIFA 2026 termasuk keputusan, jadual perlawanan dan sedutan video dalam laman mikro khas kami.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.