Skip to main content

Sukan

PIALA DUNIA FIFA 2026: Ahli politik Britain gesa FIFA tangguh hukuman kad merah terhadap Quansah susuli kes Balogun

Anggaran Waktu Membaca:
PIALA DUNIA FIFA 2026: Ahli politik Britain gesa FIFA tangguh hukuman kad merah terhadap Quansah susuli kes Balogun

Jarell Quansah dari England kelihatan kecewa setelah diminta keluar padang susuli semakan VAR. (Gambar: Reuters/Paul Childs)

Diterbitkan : 07 Jul 2026 07:13AM Dikemas Kini : 07 Jul 2026 07:18AM
NEW YORK: Ahli politik Britain mengheret kontroversi FIFA melibatkan pemain Amerika Syarikat, Folarin Balogun ke dalam kempen Piala Dunia England pada Isnin (6 Jul), sambil menggesa badan pentadbir bola sepak dunia itu supaya menangguhkan pelaksanaan hukuman terhadap pemain pertahanan England, Jarell Quansah, sama seperti terhadap pemain penyerang dari Amerika Syarikat itu.

Ini sedang jawatankuasa parlimen Britain menuntut penjelasan berhubung keputusan asal terhadap Balogun.

Persatuan Bola Sepak England sedang menimbangkan pilihan berhubung sebarang rayuan, menurut satu sumber yang mengetahui perkara itu kepada Reuters, manakala FIFA tidak menjawab beberapa permohonan dari Reuters untuk mendapatkan ulasan tentang sama ada kes Quansah akan dipertimbangkan di bawah peruntukan Artikel 27 yang sama.

Perkara itu mencetuskan kontroversi terbesar dalam sejarah pertandingan tersebut setelah Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengaku secara terbuka bahawa beliau menghubungi Presiden FIFA Gianni Infantino berhubung penggantungan Balogun.

Walaupun Encik Infantino berkata beliau memberitahu Presiden Trump bahawa badan perundangan FIFA akan menentukan kes itu secara berasingan, penangguhan hukuman terhadap Balogun mengundang tuduhan daripada pihak berkuasa bola sepak dan ahli politik dari Eropah yang mendakwa tekanan politik mungkin mempengaruhi proses disiplin bola sepak.

Campur tangan para AP Britain merupakan percubaan pertama untuk menguatkuasakan peraturan terhadap Balogun bagi pihak seorang lagi pemain, sekali gus berpotensi menjadikan keputusan yang menurut FIFA telah dibuat oleh badan perundangannya kepada tuduhan meluas tentang sama ada pendekatan yang sama boleh diambil secara konsisten.

Dalam surat berasingan yang dimuat naik ke platform media sosial, AP Buruh Noah Law dan Melanie Onn menggesa Encik Infantino supaya menangguhkan penggantungan satu perlawanan secara automatik yang dikenakan terhadap Quansah sehingga selepas Piala Dunia FIFA 2026, setelah beliau dilayangkan kad merah dalam perlawanan menentang Mexico pada Ahad (5 Jul), sambil menukil keputusan FIFA terhadap Balogun sebagai contoh.

Seperti Balogun, Quansah digantung daripada satu perlawanan secara automatik selepas dilayangkan kad merah dalam kemenangan England 3-2 di Stadium Azteca.

"Walaupun saya percaya Jarell Quansah wajar dilayangkan kad merah... Saya juga percaya ia adalah wajar untuk menangguhkan penggantunggannya sehingga selepas Piala Dunia FIFA 2026 selesai," kata Encik Law.

KES KUKUH

Sementara itu, Cik Onn berkata terdapat kes kukuh untuk menangguhkan penggantungan Quansah, sambil menambah ia sukar untuk mewajarkan seorang pemain meraih manfaat daripada keputusan yang ditangguhkan manakala seorang lagi pemain dalam situasi yang hampir serupa tidak dapat berbuat demikian.

Kedua-dua AP berhujah keyakinan terhadap sistem disiplin FIFA berisiko terjejas melainkan peraturan itu dilaksanakan secara konsisten.

FIFA sebelum ini menegaskan bahawa badan perundangannya bertindak secara bebas dalam kes Balogun.

England dijadual menentang Norway di peringkat suku akhir di Miami pada Sabtu (11 Jul).

Ikuti liputan penuh Piala Dunia FIFA 2026 termasuk keputusan, jadual perlawanan dan sedutan video dalam laman mikro khas kami.
Sumber : Reuters/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita