PIALA DUNIA FIFA 2026: 58 lokasi serata SG bakal tayang perlawanan terpilih secara langsung
Sebanyak 58 lokasi serata Singapura akan menayangkan secara langsung perlawanan-perlawanan terpilih Piala Dunia FIFA 2026 sepanjang kejohanan tersebut, yang dianjurkan bersama oleh Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat.
This audio is generated by an AI tool.
Lokasi-lokasi tersebut terdiri daripada 52 kelab masyarakat, lima Pusat Sukan ActiveSG dan The Kallang, menurut Persatuan Rakyat (PA), Majlis Sukan Singapura (SportSG) dan The Kallang Group (TKG) dalam satu kenyataan bersama pada Jumaat (5 Jun).
PA akan memulakan tayangan langsung bagi masyarakat dengan perlawanan pembukaan antara Mexico dan Afrika Selatan (12 Jun, pukul 3.00 pagi waktu Singapura), manakala SportSG akan memulakan tayangannya dengan perlawanan antara Korea Selatan dan Republik Czech (12 Jun, pukul 10.00 pagi).
The Kallang pula akan menayangkan empat perlawanan terakhir kejohanan itu, bermula dengan perlawanan separuh akhir pertama (15 Julai, pukul 3.00 pagi) di Kallang Wave Mall.
Menurut pihak penganjur, beberapa kelab masyarakat terpilih akan "diubah suai" sempena kejohanan itu dan para peminat boleh menjangkakan pelbagai aktiviti sebelum perlawanan, permainan interaktif bertemakan bola sepak serta cabutan bertuah.
Skrin bersaiz besar, zon khas bagi para peminat dan ruang tontonan yang selesa juga akan disediakan.
Selain tayangan perlawanan terpilih, SportSG juga akan menganjurkan karnival sukan di kesemua lima lokasinya semasa perlawanan bagi menentukan tempat ketiga dan perlawanan akhir.
"Tayangan di peringkat masyarakat ini dapat dilaksanakan hasil sokongan pelbagai rakan kerjasama termasuk Mediacorp, pemegang hak penyiaran rasmi Piala Dunia FIFA 2026 di Singapura," menurut agensi-agensi tersebut.
Sebelum ini, Mediacorp mengumumkan bahawa ia akan menyiarkan secara langsung 28 perlawanan Piala Dunia FIFA 2026 secara percuma, termasuk perlawanan yang melibatkan juara bertahan Argentina, juara lima kali Brazil serta pasukan-pasukan handalan dari Eropah seperti England, Sepanyol dan Portugal.
Peminat bola sepak boleh melungsuri laman web PA untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai tayangan perlawanan Piala Dunia FIFA 2026 di kelab-kelab masyarakat dan Hab Masyarakat Bersepadu, serta laman web SportSG bagi tayangan di lima Pusat Sukan ActiveSG.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.