Skip to main content

Sukan

PIALA DUNIA FIFA 2026: 10 perkara penting yang perlu anda tahu

Anggaran Waktu Membaca:
 PIALA DUNIA FIFA 2026: 10 perkara penting yang perlu anda tahu

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 20 Jul 2026 09:48PM Dikemas Kini : 20 Jul 2026 09:49PM
NEW YORK: Kejohanan Piala Dunia FIFA 2026 melabuhkan tirainya pada awal pagi Isnin (20 Jul), dengan Sepanyol dijulang sebagai juara selepas mengalahkan Argentina 1-0 menerusi masa tambahan dalam perlawanan akhir di stadium New York New Jersey.

Berikut adalah beberapa iktibar dan perkara penting daripada kejohanan yang dianjurkan bersama oleh Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico:

- Format baharu yang diperluaskan kepada 48 pasukan bermakna lebih banyak perlawanan, lebih banyak gol, dan lebih banyak rekod yang dipecahkan.

Namun, pada akhirnya, ia tetap dikuasai oleh pasukan-pasukan gergasi pilihan, di mana kesemua empat tempat di peringkat separuh akhir dimenangi oleh empat pasukan teratas dalam carta ranking badan pengurusan bola sepak dunia, FIFA - iaitu Argentina, Sepanyol, Perancis dan England.

- Sekalipun demikian, terdapat juga beberapa kisah kejayaan yang menakjubkan - Cape Verde berjaya menambat hati para penyokong selepas pasukan pendatang baharu itu, yang menggabungkan para pemain profesional berpengalaman dan pemain muda berbakat, berjaya mencapai keputusan seri dengan Sepanyol dan Uruguay, serta memaksa perlawanan dengan Argentina masuk ke masa tambahan.

Norway pula menghiburkan penonton dengan "sorakan Viking" mereka dan berjaya melangkah ke peringkat suku akhir buat julung-julung kalinya.

- Menjelang kejohanan tersebut, kebimbangan mengenai isu visa, senjata api, dan kurangnya minat penduduk tempatan membuatkan ramai peminat global berasa ragu-ragu tentang peranan Amerika Syarikat sebagai tuan rumah.

Namun pada akhirnya, para penyokong mendapat sambutan hangat daripada rakyat Amerika dalam apa yang dikenali sebagai "Great American Sleepover".

Media sosial dipenuhi dengan catatan rentas budaya di mana rakyat Amerika meraikan tradisi penyokong luar - termasuk bunyi beg paip di waktu pagi - manakala warga Eropah pula terpesona dengan minuman soda yang boleh ditambah secara percuma.

- Bola sepak lelaki di Kanada, yang merupakan salah sebuah negara tuan rumah bersama, selama bertahun-tahun bergelut untuk berkembang ke peringkat lebih tinggi.

Namun, kemajuan pasukan itu hingga ke peringkat 16 pasukan terakhir menandakan bahawa keadaan mungkin mula berubah, dengan pelaburan dalam sukan itu semakin pesat serta perlawanan yang mampu menarik jumlah penonton tertinggi.

- Sebaliknya, bola sepak sudah bertapak kukuh di Mexico. Stadium-stadium (kebanyakannya) penuh sesak dan para peminat sangat bersemangat, terutamanya apabila Mexico beraksi.

Namun, kejayaan Mexico memenangi perlawanan peringkat kalah mati Piala Dunia buat pertama kali dalam tempoh 40 tahun mengakibatkan empat orang mati dalam rempuhan penonton semasa mereka meraikannya, dan hanya ada sedikit tanda bahawa kejohanan ini memberi manfaat jangka panjang kepada ekonomi negara itu.

- Peminat Amerika Syarikat berasa kecewa kerana pasukan mereka sekali lagi tersingkir di pusingan 16 pasukan terakhir.

Presiden Donald Trump pula cetuskan kontroversi selepas kad merah yang dilayangkan terhadap seorang pemain pasukan Amerika digantung atas desakannya. Namun, langkah itu sama sekali tidak memberi mereka kelebihan pada akhirnya.

Setelah segala kekecohan itu reda, hakikatnya ialah prestasi pasukan tersebut adalah sejajar dengan apa yang dijangkakan.

- Harga tiket menonton perlawanan yang sangat mahal berbanding kejohanan sebelum ini mencetuskan kemarahan peminat. Namun, jumlah penonton yang hadir menunjukkan bahawa masih cukup ramai yang sanggup membayar harga tersebut. Hakikatnya, hanya mereka yang benar-benar mampu atau fanatik dapat menghadiri kejohanan Piala Dunia.

- Selain golongan berpendapatan rendah, para penyokong dari negara-negara yang berdepan sekatan visa dihalang daripada menghadiri Piala Dunia. Masyarakat diaspora dan rakyat Amerika yang memberikan sokongan, sedikit sebanyak membantu memenuhkan kerusi di stadium.

- Peraturan FIFA melarang sebarang paparan atau mesej politik di dalam stadium. Namun, apabila ia berlaku, tiada tindakan serta-merta daripada pihak berkuasa dan perlawanan tetap diteruskan seperti biasa.

- Bola sepak yang disesuaikan mengikut cara Amerika - khususnya, waktu rehat untuk minum air dan pertunjukan separuh masa semasa perlawanan akhir - menimbulkan rasa tidak puas hati sesetengah pihak.

Pengkritik berkata ia merosakkan aliran semula jadi perlawanan demi memberi laluan kepada lebih banyak iklan penyiaran. Namun, para jurulatih menjadikan waktu rehat itu sebagai peluang menyusun taktik mereka dan, dalam keadaan suhu dunia yang semakin panas ini, perkara-perkara baharu itu mungkin akan dikekalkan.
Sumber : Reuters/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita